KUCHING, 11 FEB – Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail hari ini menamatkan perkhidmatannya bersama Polis Kontinjen Sarawak dalam satu majlis serah terima tugas jawatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini.
Beliau menyerahkan tugas Pesuruhjaya Polis Sarawak kepada timbalannya, Datuk Mancha Ata yang akan memangku jawatan berkenaan. Majlis serah terima tugas itu juga disaksikan Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Azri Ahmad.
Aidi memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sarawak selama hampir dua tahun sejak 18 Februari 2020. Pada 20 Januari lepas, Setiausaha Polis Diraja Malaysia DCP, Ruslan Khalid dalam kenyataan memaklumkan Aidi dilantik sebagai Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman yang baharu berkuat kuasa pada 22 Februari ini. – Bernama