Aidil Zafuan mahu pasukan baiki kelemahan

KUALA LUMPUR, 25 MEI – Kapten skuad Harimau Malaya, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak berharap rakan sepasukannya dapat memperbaiki segala kelemahan dan berada dalam keadaan siap sedia sebelum bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun nanti.

Selepas terpalit dengan kekalahan 1-4 kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan di Dubai Ahad lepas, tonggak pertahanan tengah itu mahu semua pemain menggunakan tempoh seminggu ini dengan baik bagi menghadapi baki saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

Setelah tidak bermain dalam aksi kompetitif untuk tempoh 18 bulan sejak November 2019, pemain berusia 33 tahun itu juga mengakui terdapat banyak perkembangan baik dalam pasukan sejak menyertai kem latihan pusat bermula 16 Mei.

“Selepas seminggu saya latihan bersama, saya nampak banyak pembaharuan dan perkara positif dalam skuad,” katanya menerusi video yang dikongsikan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). – Bernama