Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Aidilfitri dirai penuh kemeriahan di Pakistan sejak pandemik

    ISLAMABAD – Berikutan penurunan ketara dalam jumlah kes COVID dan sekatan yang dilonggarkan di Pakistan baru-baru ini, timbulnya rasa optimis dan keadaan normal di negara itu ketika umat Islam bersiap sedia untuk menyambut Aidilfitri yang ditandai dengan perhimpunan beramai-ramai, membeli-belah dan pesta yang meriah.

    Di negara-negara Islam, Aidilfitri menandakan berakhirnya bulan puasa Ramadan setiap tahun. Perayaan itu jatuh pada hari Selasa lalu pada tahun ini di Pakistan, dengan kerajaan telah mengumumkan cuti empat hari untuk meraikannya.

    Pada Selasa lalu, orang ramai berkumpul di masjid dan tempat terbuka di seluruh negara Asia Selatan untuk memulakan perayaan mereka dengan solat berjemaah khas pada waktu pagi, diikuti dengan jamuan dan aktiviti penuh keseronokan.

    Muhammad Ali merasa terlalu gembira ketika dia menunggu ketibaan kereta apinya di stesen kereta api yang sibuk di daerah Rawalpindi timur. Dia mengadakan lawatan pertama ke kampung halamannya dalam tempoh lebih dua tahun untuk menyambut Hari Raya bersama insan tersayang.

    “Saya sangat gembira. Saya tidak dapat menyatakan betapa gembiranya saya dapat bertemu ibu bapa saya selepas sekian lama kerana kerajaan baru-baru ini menarik balik semua sekatan berkaitan COVID selepas berjaya membendung virus maut itu, dan memberi vaksin kepada lebih 80 peratus daripada penduduk yang layak,” beritahu Ali, seorang kakitangan kerajaan, kepada Xinhua.

    Orang ramai menunaikan solat pada hari pertama Aidilfitri di Karachi, selatan Pakistan. – Xinhua
    Tangan seorang gadis dihiasi dengan rekaan inai tradisional. – Xinhua

    “Masa sukar nampaknya sudah berakhir, sekurang-kurangnya buat masa ini. Menyambut perayaan besar secara tradisional di negara ini sudah kembali… Jadi saya tidak sabar untuk menghabiskan cuti Aidilfitri bersama keluarga dan rakan-rakan, dan bukannya bimbang tentang isu kesihatan yang timbul akibat COVID,” kata Ali.

    Hina Pervaiz, seorang penduduk di ibu kota persekutuan Islamabad, memberitahu Xinhua bahawa perayaan Aidilfitri menjadi lebih meriah tahun ini apabila aktiviti sosial disambung semula selepas tergendala akibat wabak itu.

    Pervaiz berkata dia tidak dapat keluar dan menikmati keseronokan membeli-belah dan berjalan-jalan di sekitar pasar dan jalan yang dihiasi pada hari istimewa itu kerana sekatan COVID sebelum ini.

    “Saya masih ingat saya tidak begitu berpuas hati apabila saya menempah pakaian baharu secara dalam talian untuk Aidilfitri tahun lepas kerana ia tidak seperti yang saya inginkan. Bagi saya, sambutan itu tidak lengkap sehingga saya pergi ke pusat membeli-belah bersama anak-anak dan memilih dan mencuba sesuatu sendiri,” katanya.

    Selain meraikan perayaan dan berbelanja besar, penduduk di Pakistan mengekalkan semangat dermawan pada Hari Raya Aidilfitri, dengan banyak organisasi dan individu mengambil bahagian dalam aktiviti kemanusiaan. Hassan Shahid, seorang dermawan yang berpangkalan di Islamabad yang menjalankan pertubuhan amal, berkata adalah menjadi tanggungjawab rakyat, terutama yang berada untuk menjaga golongan yang lemah dalam masyarakat.

    “Pada Hari Raya ini, organisasi kami telah mengedarkan lebih 10,000 pakej istimewa Aidilfitri yang mengandungi bahan makanan keperluan dan hadiah kepada orang yang memerlukan… Amal adalah satu tujuan yang mulia dan semangat Hari Raya yang tulen terletak dalam empati dan rasa berkongsi dengan golongan yang tidak berkemampuan,” Shahid memberitahu Xinhua. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...