Aidilfitri MIC eratkan silaturahim

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Sebagai acara tahunannya untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim, Kolej Antarabangsa Micronet (MIC) telah mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi para pelajar, alumni, ibu bapa, sebilangan pegawai Kementerian Pendidikan dan jemputan korporat di Tarindak D’Polo, Royal Brunei Polo & Riding Club.

Menurut kenyataan yang diberikan, pada majlis itu, para jemputan dialu-alukan dengan nyanyian lagu-lagu raya klasik, ‘Suasana Hari Raya’ dan ‘Selamat Hari Raya’ yang dipersembahkan oleh kakitangan MIC serta ahli-ahli kelab muzik dan majlis pelajar.

Sementara menyaksikan program raya khas, para jemputan disajikan hidangan bufet yang menampilkan makanan tempatan termasuk kek-kek raya tradisi.

Selain itu, majlis juga dimeriahkan dengan cabutan bertuah dengan menawarkan pelbagai hadiah.

Dalam suasana muhibah berkenaan, Pengetua MIC, Sharon Chin menyampaikan penghargaan dan ucap selamat kepada semua ibu bapa dan penjaga serta para pelajar atas sokongan berterusan mereka kepada kolej tersebut.

Gambar ramai sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri MIC.