Oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi
TEMBURONG, 20 Julai – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Mukim Amo di bawah tadahan Ketua Kampung Selangan, Parit dan Biang, tahun ini, disambut meriah oleh warga kampung dan tetamu yang disajikan dengan pelbagai juadah.
Majlis yang berlangsung di Dewan Roney Kampung Selangan yang diadakan sehingga 10 malam itu telah dikunjungi hampir 100 tetamu dalam kalangan penduduk kampung dan orang ramai.
Dikelolakan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Selangan, majlis itu menyajikan lebih 20 jenis juadah yang disediakan oleh pelbagai kampung dan orang perseorangan seperti nasi, mi, sate, kuih-muih, laksa, cendol, kelupis, buah-buahan, nasi dagang, udang galah dan bermacam lagi masakan ala kampong.
Pada majlis itu, ahli jawatankuasa MPK turut menyampaikan sumbangan sebagai tanda penghargaan kepada Penghulu Mukim Amo, Haji Bahrun bin Haji Talip yang hadir selaku tetamu kehormat.

Turut diadakan adalah penyampaian hadiah cabutan nama bertuah, persembahan nyanyian Selamat Hari Raya oleh ahli-ahli jawatankuasa pengelola majlis.
Sambutan seumpamanya juga diharap dapat menerapkan nilai kesefahaman melalui kerjasama, bersatu padu, bantu-membantu, ziarah-menziarahi serta bermaaf-maafan dan seterusnya mewujudkan hubungan setia kawan dalam kalangan penduduk kampung dengan pemimpin akar umbi secara keseluruhannya.
Selain itu, ia diungkayahkan sebagai salah satu aktiviti tahunan MPK dan Mukim Amo.