Oleh Nurdiyanah R., Yusrin Junaidi, Ak Zaki Kasharan & Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 MEI – Pelbagai pihak di negara ini mengambil kesempatan penghujung Syawal untuk terus mengadakan majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri sebagai peluang mengeratkan silaturahim.
Baru-baru ini, Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM) turut tidak ketinggalan menjemput ahli-ahli rakan kongsi perniagaan dan kalangan stakeholder dalam Majlis Ceria Raya.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; dan Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Mengalu-alukan kedatangan para jemputan ialah Pengarah Urusan BSM, Awang Muhammad Norshafiee bin Dato Paduka Haji Abdul Jalil; dan pihak pengurusan serta para kakitangan BSM.
Antara yang turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil jemputan dari bahagian stesen minyak runcit, pengangkutan, pengedar dan golongan media.
Sementara itu, kelmarin, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Pejabat Dakwah Daerah Belait dengan kerjasama Persatuan Sinar Islam (PSI) telah mengadakan Majlis Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri bersama Mualaf bagi Daerah Belait.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Sekolah Rendah Paduka Seri Begawan Sultan Omar ‘Ali Saifuddien, Kuala Belait itu ialah Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis diserikan dengan persem-bahan lagu-lagu Hari Raya oleh ahli-ahli PSI serta pameran kraf tangan dan jualan-jualan Muallafpreneurs daripada para muallaf Daerah Belait.
Program bertujuan untuk mendedahkan PSI kepada para mualaf di Daerah Belait dengan mengerakkan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian sebagai pengisian aktiviti Persatuan.
Baru-baru ini, Gleneagles Jerudong Park Medical Centre (JPMC) khususnya Unit Pemulihan Jantung juga telah menganjurkan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan perhimpunan bersama pesakit pemulihan jantung di Hotel Parkview, Jerudong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi Gleneagles JPMC, Awang ‘Izzul Hamzi bin Haji Jomari.
Selain meraikan Hari Raya, acara tahunan itu dianjurkan untuk memupuk hubungan antara kakitangan Unit Pemulihan Jantung bersama pesakit yang mana acara berkenaan turut
menyaksikan pelbagai aktiviti dijalankan termasuklah permainan dan cabutan bertuah.
Manakala itu, bekas peserta Pusat Pembangunan Belia (PPB) sesi 98/99 berhimpun dalam Majlis Pertemuan Kembali Jubli Perak yang diselajurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di salah sebuah restoran di Berakas, hari ini.
Majlis diisi dengan pelbagai aktiviti interaktif bersama seterusnya bertukar hadiah dalam kalangan bekas peserta yang hadir.