Catatan perjalanan kerjaya pelakon kacak, Aidit Noh selama tujuh tahun bergelar anak seni bukanlah mudah seperti bintang lain.
Tak ubah seperti ‘roller coaster’, ada masa di atas, ada ketika di bawah, namun Aidit atau nama sebenarnya, Ahmad Aidit Noh tidak pernah berputus asa berjuang.
Aidit berkata, dia pernah rasa dipinggirkan dalam dunia lakonan selepas berehat agak lama untuk memberi tumpuan kepada pelajaran dan perniagaan.
“Ini termasuklah tumpuan melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Penyenggaraan Pesawat. Bagaimanapun, saya tamat pengajian itu pada 2018.
“Ada produser fikir saya sudah bersara selepas wajah jarang muncul di kaca televisyen (TV). Kemudiannya, pandemik COVID-19 menyerang seluruh dunia dan industri kreatif sendiri lumpuh.
“Apabila aktif semula berlakon, saya dibayar dengan harga rendah. Umpamanya, saya kembali sebagai pelakon baharu semula. Saya sedar perlu bersaing sengit dengan bakat baharu,” katanya kepada BH Online.
Aidit yang kembali meledak menerusi drama Dendam Seorang Isteri arahan Nizam Zakaria dan Uchee Fukada bagaimanapun menafikan berkongsi cerita dibayar dengan harga rendah untuk meraih simpati.
“Saya berkongsi cerita sekadar mengimbas semula perjalanan seni. Saya umpama masih bertatih dan belajar.
“Cuma, apabila dibayar dengan harga rendah cukup mengecewakan. Sedangkan, saya bermula dari bawah sehingga diberikan watak hero sepanjang tempoh tujuh tahun berlakon,” katanya.
Namun, Aidit berkata, dia tidak berputus asa, malah Aidit bangkit membuktikan bakat dimiliki bukan sekadar penyendal. – Agensi