Friday, April 19, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    AIFA adakan majlis pecah tanah

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Dalam usaha memberikan perkhidmatan lepas jualan yang terbaik kepada pelanggannya, AIFA iaitu jenama perkakas rumah dan barangan elektronik yang tidak asing di Negara Brunei Darussalam, bakal mempunyai bangunan Pusat Latihan dan Perkhidmatan yang baharu.

    Sehubungan dengan itu, majlis pecah tanah bagi bangunan berkenaan telah diadakan di tapak bangunan, Kampung Lambak B, Mukim Berakas hari ini.

    Acara pecah tanah berkenaan diketuai oleh Pengarah Urusan AIFA Sdn Bhd, Dr Lau Sie Chuong. Turut hadir ialah Pengurus Besar AIFA, Lily Ngo, ahli keluarga, pihak pengurusan dan kakitangan AIFA serta jemputan khas.

    Menurut Dr Lau, upacara pecah tanah bagi Pusat Latihan dan Perkhidmatan AIFA yang baharu berkenaan merupakan satu mercu tanda yang amat penting dalam perkembangan syarikat berkenaan.

    Beliau menyatakan penghargaan kepada Darussalam Enterprise (DARe) yang telah memberikan kelulusan bagi menggunakan tapak berkenaan untuk pembinaan pusat baharu yang dijangka akan siap pembinaan dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

    Penularan pandemik COVID telah menyebabkan tempoh untuk mendapatkan kelulusan mengambil tempoh lebih lama daripada dijangkakan, jelasnya, tetapi pihaknya kini bersedia untuk memajukan AIFA ke hadapan dalam menyediakan perkhidmatan lepasan jualan yang terbaik dengan bangunan tambahan itu.

    Pada masa yang sama, Dr Lau menerangkan bahawa dengan adanya pusat latihan berkenaan nanti, pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dan institusi lain di negara ini untuk menyediakan platform bagi mendidik generasi baharu tentang perkakas rumah dan elektronik yang merupakan satu keperluan bagi setiap rumah di dalam negara.

    Beliau menyatakan penghargaan kepada kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam atas sokongan berterusan bagi perusahaan seperti mereka.

    Pembinaan bangunan baharu itu bukan sahaja akan menempatkan pusat latihan dan perkhidmatan tetapi juga pejabat dan gudang.

    Dr Lau bergambar ramai bersama kakitangan AIFA di tapak Pusat Latihan dan Perkhidmatan AIFA yang bakal dibina di Kampung Lambak ‘B’, Mukim Berakas, kelmarin.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...