Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Aifa dambakan lebih banyak kejayaan

    KUALA LUMPUR, 13 DIS – Pemain skuasy sensasi remaja negara Aifa Azman semestinya mendambakan lebih banyak peluang untuk beliau merangkul kejayaan bagi menutup tirai kejohanan musim 2021 dengan penuh bergaya.

    Selepas kejayaannya menjulang trofi Kejohanan Berpasukan Terbuka Malaysia dan Asia (ATC) 2021 baru-baru ini, Aifa yakin beliau kini berada dalam prestasi cemerlang menjelang Kejohanan Individu Asia di Islamabad, Pakistan yang akan bermula Rabu ini hingga 19 Dis.

    Kini, gadis berusia 19 tahun berasal dari Kedah itu ternyata tidak sabar-sabar untuk menjulang kejayaan pada aksi saingan di Pakistan itu kelak, lebih-lebih sebagai hadiah hari jadinya ke-20 tahun pada 18 Dis ini, iaitu sehari sebelum aksi final kejohanan tersebut.

    “Sudah tentu saya mahu memenangi gelaran (Kejohanan Individu Asia). Saya dapat rasakan, saya berada dalam momentum yang baik selepas merangkul dua kejayaan berturut-turut di sini,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

    Aifa yang merupakan pilihan kelima kejohanan akan menentang pemain berusia 23 tahun, Fathoum Issadeen dari Sri Lanka pada pusingan pertama.

    November lepas, Aifa mengejutkan pilihan utama dari Mesir Salma Hany dengan kemenangan 12-10, 11-8, 11-4 pada pentas akhir sekali gus dinobatkan sebagai juara Terbuka Malaysia 2021 dan meneruskan prestasi cemerlangnya dengan membantu pasukan negara wanita memenangi ATC buat kali ke-10, dengan menewaskan juara bertahan, Hong Kong, 2-1.

    Aifa yang juga pemain nombor 36 dunia memaklumkan bahawa pentas kejohanan di Asia itu akan dijadikan platform untuk membantunya membuat persiapan bersaing dalam dua kejohanan peringkat antarabangsa.

    Ia termasuk dua pertandingan di Manchester, United Kingdom dari 21 Disember 2021 hingga 10 Januari 2022 diikuti enam pertandingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) di Amerika Syarikat bermula pertengahan Januari hingga Mac 2022. – Bernama

    Aifa Azman (kanan) beraksi ketika menentang pemain dari Hong Kong Ho Tze Lok dalam perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Berpasukan Asia 2021 di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda