AIFA perkenal dua produk baharu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – AIFA Sdn Bhd, hari ini, telah melancarkan dua produk AIFA ke pasaran Brunei iaitu Thermo-Cooking Pot dan Auto Water Dispenser sebagai usaha memberi banyak pilihan kepada masyarakat di negara ini.

Pelancaran produk baharu itu merupakan usaha berterusan AIFA untuk memberi keselesaan, penjimatan masa dan memenuhi cita rasa pengguna di negara ini yang mana ia dijual dengan harga yang berpatutan.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Syarikat Audiomarc, Kampung Sungai Hanching itu dihadiri oleh Pengarah Urusan AIFA, Dr Andy Lau dan Pengurus Besar AIFA, Lily Ngo.

Pada majlis itu, Andy Lau antara lain menjelaskan bahawa Thermo-Cooking Pot adalah jimat tenaga dan mempunyai dua saiz iaitu 2.5 dan 7 Liter.

“Selain menjimatkan tenaga, Thermo-Cooking Pot ini juga mudah dibawa ke mana saja tanpa memerlukan tenaga elektrik dan kepanasan hidangan mampu bertahan lima hingga lapan jam,” tambahnya.

Manakala itu, AIFA Auto Water Dispenser yang dilengkapi air panas dan sejuk mempunyai empat penapis terkini dan direka dengan rekaan penunjuk digital dan yang menarik, terdapat butang kekunci kanak-kanak sebagai langkah keselamatan.

Empat penapis berkenaan mempunyai fungsi yang berbeza iaitu penapis RO, CTO, UDF dan penapis PP dan pelanggan yang membeli produk ini akan mendapat jaminan satu tahun, pemasangan dengan paip PVC secara percuma dan pemasangan paip secara langsung.

Sempena pelancaran produk berkenaan, AIFA juga mengadakan promosi sehingga penghujung bulan ini di mana setiap pembelian penghawa dingin pada jumlah minimum di Audiomarc, layak mendapat Thermo-Cooking Pot secara percuma.

Dr Andy Lau memperkenalkan Thermo-Cooking Pot jenama AIFA, semalam. – Gambar oleh Muiz Matdani