Aiman mahu lebih hati-hati

Mendakwa menjadi mangsa ‘perangkap’ hingga dikompaun RM1,000 selepas memancing di kolam ikan di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu, bulan lalu, Aiman Tino mahu lebih berhati-hati apabila keluar rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Aiman mengaku serik dan tidak mahu perkara sama berulang.

“Saya tidak pernah berdepan situasi ditahan polis dan disaman. Secara jujurnya, saya serik.

“Sekarang, setiap kali mahu buat apa-apa, saya jadi takut dan fikir sebaik-baiknya. Apatah lagi, kita masih dalam tempoh PKPP. Kejadian ini menjadi iktibar buat diri saya dan keluarga,” katanya kepada media.

Berkongsi lanjut mengenai kejadian itu, Aiman berkata, dia dan bapanya teruja apabila mendapat tahu kolam pancing terbabit sudah dibuka.

Aiman Tino mengaku serik dan tidak mahu perkara sama berulang seperti bulan lalu apabila dikompaun RM1,000 selepas memancing di kolam ikan di Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu. – Agensi

“Pengusaha kolam pancing itu menghebahkan pembukaan premis berkenaan di Facebook.

“Maklumlah, kami kaki pancing, selepas tiga bulan tidak memancing, apabila dapat tahu kolam dibuka, kami teruja,” katanya.

Namun, Aiman berkata, ketika memasuki premis berkenaan, dia mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai penutup mulut dan hidung serta mematuhi jarak sosial.

“Kami patuh SOP, ambil suhu badan dan menjaga jarak. Ketika kami memancing, ada kira-kira 20 orang di premis itu,” katanya.

Bagaimanapun, Aiman mendakwa, pekerja kolam pancing terbabit mem-benarkan lebih ramai pemancing masuk.

“Kami sudah bayar, tak akan mahu beredar. Sepatutnya, pemancing yang datang kemudian, tidak dibenarkan masuk,” katanya.

Dakwa Aiman, ketika anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba, hujan lebat dan pemancing terpaksa berasak-asak di bawah bumbung. – Agensi