Aiman Tino izin saudara ziarah raya tapi harus ikut SOP

Sambutan Aidilfitri tahun ini pastinya berbeza buat penyanyi Aiman Tino apabila dia tidak dapat meneruskan tradisi berkumpul bersama keluarga, saudara-mara dan peminat seperti tahun sebelum ini.

Aiman bagaimanapun berkata masih ada saudara-maranya yang tinggal berdekatan dan tidak menghalang jika ada yang mahu mengunjungi kediamannya pada hari raya ini.

Namun, ziarah raya itu haruslah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan oleh kerajaan.

“Semua dah boleh bayangkan raya tahun ini sangat berbeza dan berlainan, kita akan duduk rumah sahaja tak boleh nak kemana-mana.

“Ada saudara-mara yang tinggal berdekatan sahaja… kalau mereka nak datang rumah boleh tapi haruslah mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan antaranya maksimum 20 orang dalam satu masa.

Syawal tahun ini cukup bermakna buat Aiman Tino kerana dia dapat bersama keluarga sepanjang masa. – Agensi

“Tidak apalah jika tahun ini kita berkorban kemeriahan raya demi keselamatan dan kesihatan semua orang. Insya Allah, kita doakan semoga keadaan akan kembali pulih seperti biasa tidak lama lagi,” katanya kepada mStar.

Sementara itu, penyanyi lagu Benci ini berkata penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi ruang untuknya memanfaatkan lebih banyak masa bersama keluarga di rumah.

“Saya percaya setiap apa yang berlaku ada hikmahnya… sebenarnya inilah masa untuk kita lebih hargai orang tersayang, membuka mata ramai orang bahawa sebelum ini banyak masa yang kita buang.

“Jadi peluang dapat bersama keluarga ini haruslah digunakan sebaik-baiknya… sama-samalah kita berdoa supaya raya tahun ini akan lebih diberkati.

“Saya juga nak ucapkan selamat hari raya kepada semua peminat, keluarga dan saudara-mara yang tak dapat bertemu Aidilfitri ini… saya minta maaf jika ada salah silap dan selamat hari raya ya!,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Aiman berkolaborasi bersama penyanyi Sufian Suhaimi, Luqman Faiz, Fieya Julia, Fara Hezel dan Yazid Izaham dalam lagu raya terbaharu berjudul Suasana Hari Lebaran.

Lagu ciptaan komposer hebat, S Atan dan lirik oleh Siso Kopratasa sudah dimuat naik di laman YouTube Aries Music sejak 12 Mei lalu. – Agensi