Aiman tukar rumah jadi restoran

Pelbagai cara mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup ketika berdepan pandemik COVID-19. Tidak terkecuali, penyanyi Ku Rela Dibenci, Aiman Tino, 22, dan keluarganya.

Seperti diketahui, Aiman pernah menghadiahkan ibu bapanya sebuah restoran yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor, tahun lalu. Bagaimanapun, restoran yang menyediakan masakan istimewa asam pedas itu hanya menyediakan khidmat tempahan dan penghantaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Terbaharu, Aiman dan keluarganya terpaksa memikirkan strategi baharu untuk menarik perhatian pelanggan. Mereka membuka tempahan pelanggan bukan makan di restoran, sebaliknya menjamu selera di kediamannya.

Katanya, awalnya, dia terkejut apabila mendapat tahu ibu bapanya mengajak pelanggan menjamu selera di kediaman apabila melihat hantaran yang dimuat naik menerusi akaun Instagram keluarga.

“Saya tak menyangka ibu bapa mempunyai idea luar biasa. Ajak pelanggan makan di rumah dengan pelbagai menu disediakan seperti di restoran jarang dilakukan peniaga lain.

Aiman mencuba pelbagai cabang perniagaan selepas sumber pendapatan sebagai penyanyi terjejas. – Agensi

“Setakat ini, apa yang saya nampak, sambutan pelanggan memang menggalakkan. Jika pulang ke rumah keluarga, saya tak kisah menyinsing lengan melayan pelanggan sekali. Jika bernasib baik akan bertemu saya.

“Ibu bapa bukan tak mahu membuka restoran, tetapi banyak prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi. Jadi, mereka buat keputusan membuka tempahan makan di rumah, ia lebih santai dan selesa,” katanya kepada media.

Aiman berkata, dia tidak duduk diam sepanjang PKP, malah cuba pelbagai cabang perniagaan selepas sumber pendapatan sebagai penyanyi terjejas.

“Saya berada di Singapura, beberapa hari sebelum PKP dilaksanakan, tetapi sempat pulang ke tanah air. Jika tidak, mungkin saya tersangkut di sana.

“Nasib baik saya membuat keputusan pulang ke rumah keluarga di Kuala Kubu Bharu, jika tidak, mungkin saya duduk di rumah seorang diri selama berbulan-bulan lamanya.” – Agensi