AIMMAF bincang guna dron bagi pertanian

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia khususnya dalam kalangan negara-negara ASEAN telah memberi kesan yang mendalam terhadap kehidupan sejagat terutamanya dari segi ekonomi termasuk gangguan rantaian bekalan makanan di rantau ini.

Justeru satu kesepakatan telah dicapai di mana Pelan Tindakan Jangka Sederhana bagi Kerjasama ASEAN-India dalam Pertanian dan Perhutanan (2021-2025) telah dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri-menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN-India AIMMAF ke-6 yang diadakan secara maya, kelmarin.

Dalam pelan tersebut, pegawai-pegawai kanan masing-masing akan melaksanakan pelan tindakan berkenaan khususnya projek keutamaan berhubung kepada Program Persahabatan ASEAN-India bagi Pendidikan Tinggi dalam Pertanian, pertukaran lawatan bagi petani ASEAN dan India serta pertanian pintar iklim.

Menurut kenyataan AIMMAF, di sini, mesyuarat berkenaan yang dihadiri oleh menteri-menteri pertanian dan perhutanan ASEAN dan India serta Setiausaha Agung ASEAN itu dipengerusikan bersama oleh Menteri Pertanian, Perhutanan dan Perikanan, Kemboja, Tuan Yang Terutama Veng Sakhon dan Menteri Negara bagi Kerjasama Pertanian dan Kebajikan
Petani India, TYT Shri Kailash Choudhary.

Sementara itu, Negara Brunei Darussalam diwakili oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali semasa menghadiri Mesyuarat AIMMAF ke-6 melalui persidangan video.- Gambar serahan ASEAN Sekretariat

Selain itu, Pelan Tindakan Jangka Sederhana bagi Kerjasama ASEAN-India dalam Pertanian dan Perhutanan (2021-2025) itu juga turut merangkumi penggunaan robotik dan dron dalam pengeluaran pertanian dan gelombang elektro magnetik dalam pemprosesan makanan, mempromosi teknologi pascatuaian bagi buah-buahan dan sayur-sayuran serta penyakit merentas sempadan dan pengurusan kesihatan dalam pertanian.

Dalam mesyuarat tersebut, menteri-menteri yang bersidang juga menegaskan semula komitmen mereka untuk memastikan aliran tidak terganggu hasil pertanian yang selamat dan berkhasiat di rantau itu.

Dalam pada itu, mereka menyatakan perasaan gembira dengan pencapaian yang dibuat dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Jangka Sederhana bagi Kerjasama ASEAN-India dalam Pertanian dan Perhutanan (2016-2020) khususnya dalam mengukuhkan kapasiti serantau bagi penggunaan intervensi berasaskan sains dan perkongsian amalan pertanian baik di kalangan satu sama lain bagi pembangunan keseluruhan rantau berkenaan.

Selain itu, ia juga bagi mengukuhkan lagi kolaborasi menerusi interaksi pakar strategik dalam sektor pertanian, ternakan dan perikanan.

Kenyataan bersama menyatakan lagi bahawa menteri-menteri bersidang bersetuju untuk bertemu lagi dalam Mesyuarat AIMMAF ke-7 pada 2022.