Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Aina kesal warganet memperlekeh kredibiliti

    Meskipun cuba bersikap positif, namun, penyanyi Aina Abdul terkesan apabila harga tiket konsert A Night With Aina Abdul, bulan depan terus menjadi bahan pertikaian warganet.

    Lebih membuatkan penyanyi lagu Sumpah ini kecewa apabila warganet mengaitkan isu harga tiket mahal dengan perkara lain yang disifatkan memperlekehkan kredibilitinya.
    “Antara cabaran terpaksa dihadapi adalah kemarahan warganet mempertikaikan harga tiket konsert yang dianggap mahal.

    “Malah, warganet turut membandingkan harga tiket dengan tempoh pembabitan saya dalam bidang seni, membandingkan saya dengan figura yang juga menjadi idola saya.

    “Walaupun enggan mengambil peduli pendapat warganet, namun, tak dinafikan komen negatif ‘memakan diri’ dan memberi kesan kepada mental saya,” katanya kepada BH Online.

    Enggan menyerah kalah, pemenang trofi Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-36 ini mahu membuktikan segala tanggapan negatif terhadapnya adalah salah dengan memberikan persembahan terbaik serta mampu memberi kepuasan maksimum kepada penonton.

    “Saya bukanlah nak cakap besar, namun, saya percaya dengan nilai tiket dibayar penonton akan dapat menyaksikan persembahan terbaik daripada saya.

    “Jika selama ini penonton hanya menyaksikan persembahan saya pada malam kemuncak AJL, kali ini mereka akan dapat lebih daripada itu.

    “Bukan usia ataupun tempoh masa menjadi ukuran, tetapi, bagaimana cara kita mempersembahkan konsert,” ujar pemilik nama lengkap Nurul Aina Abdul Ghani ini pada sidang media konsert A Night With Aina Abdul yang diadakan di ibu negara, baru-baru ini.

    Antara keistimewaan bakal disajikan penyanyi bervokal mantap ini adalah membariskan 30 pemuzik hebat termasuk pengarah muzik tersohor, Mac Chew, susunan muzik lebih segar dan sistem bunyi berkualiti. – Agensi

    Aina mahu membuktikan segala tanggapan negatif terhadapnya salah dan berjanji memberi persembahan terbaik. – Agensi
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...