Aina tidak kisah dituduh tumpang populariti Khai

Tidak kisah dianggap menumpang populariti Khai Bahar, penyanyi Aina Abdul sebaliknya menganggap kejayaan mereka membawa pulang trofi Artis Kolaborasi/Duo/ Berkumpulan Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, sebagai rezeki.

Bagaimanapun, Aina yang berduet dengan Khai menerusi lagu Nafas Cinta, sudah menjangkakan isu itu timbul. Namun, penyanyi berusia 28 tahun itu tidak ambil hati dengan pertikaian warganet atas kemenangannya.

“Sebenarnya, saya boleh nampak perkara ini bakal timbul. Tetapi bagi saya, kata-kata negatif seperti itu langsung tidak memberi kesan.

“Kalau pun ada orang bercakap, biarlah kerana saya anggap kemenangan adalah rezeki daripada Allah dan saya sangat bersyukur.

“Namun, saya berterima kasih kepada Khai kerana sudi bekerjasama dengan saya. Ini adalah kemenangan pertama saya pada ABPBH.

Aina Abdul menganggap kejayaannya dan Khai Bahar membawa pulang trofi dalam acara Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, sebagai rezeki. – Agensi

“Saya tidak nafikan, tanpa Khai, susah untuk saya menang.

“Saya juga berterima kasih kepada kelab peminat Khai Bahari Empire dan Ainations kerana menghargai lagu duet kami,” katanya kepada media.

Sementara itu, Khai yang memenangi kategori sama dua tahun berturut-turut selepas tahun lalu berkongsi kejayaan dengan Siti Nordiana menerusi lagu Satukan Rasa, tidak kisah dituduh hanya bekerjasama dengan penyanyi hebat.

Khai optimis dirinya memerlukan rakan duet yang hebat supaya dia juga dapat menjadi sehebat mereka.

“Kalau boleh saya ingin berduet dengan semua orang. Tapi saya tidak kisah jika ada yang mengatakan saya ingin menumpang populariti dan kehebatan rakan duet saya.

“Saya mengaku mahu menjadi sehebat mereka juga,” katanya.

Khai tidak menafikan apabila berduet, penghayatan terhadap lagu jadi berbeza.

“Sedikit sebanyak saya banyak belajar daripada Aina ketika kami mendendangkan lagu Nafas Cinta.

“Apa pun, tidak terkata rasa kesyukuran atas penghargaan yang diberi peminat kepada kami,” katanya.

Khai dan Aina menewaskan Datuk Seri Siti Nurhaliza/Kmy Kmo dan Luca Sicta yang berduet menerusi lagu 7 Nasihat.

Mereka juga menumpaskan Hael Hussaini, Naim Daniel dan Haqiem Rusli yang bekerjasama menghasilkan single Lara.

Selain itu, Khai mempertaruhkan single duet bersama kumpulan nasyid Inteam berjudul Setanggi Syurga 2020 dan menghampakan kumpulan sensasi wanita, Dolla yang bersaing dengan lagu Dolla Make You Wanna. – Agensi