AIPA CAUCUS: Sama-sama berjuang perangi COVID-19

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 OGOS – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) hari ini telah menghadiri Mesyuarat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) CAUCUS ke-11
dihoskan secara dalam talian oleh Dewan Perwakilan Republik Filipina.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, pada mesyuarat bertema We Heal as One: Parliamentary Cooperation Towards Mitigating Risks and Strengthening Economic Resilience in the Period of Pandemic itu, kesemua negara ahli AIPA secara amnya bersetuju akan keperluan untuk sama-sama berjuang dalam memerangi wabak COVID-19 agar dapat mengurangkan impak terhadap ekonomi serantau.

Rantau ASEAN perlu menumpukan dan memanfaatkan teknologi dan perdagangan secara digital. Negara Brunei Darussalam juga tidak terkecuali dalam menghadapi fasa ekonomi yang mencabar ini dan semenjak negara menerima kes pertama COVID-19, berbagai-bagai langkah dan polisi-polisi diperkenalkan untuk mengatasi krisis perniagaan, kebajikan rakyat dan institusi-institusi di negara ini.

Mesyuarat AIPA CAUCUS kali ini telah dihadiri oleh lapan buah negara ahli AIPA termasuk Negara Brunei Darussalam yang diketuai oleh ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu yang menyertai mesyuarat itu dari Bilik VIP, Bangunan Dewan Majlis di Jalan Dewan Majlis.

Turut hadir ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar serta ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arsad dan Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.

Kenyataan menyatakan, mesyuarat telah membincangkan dan melaporkan perkembangan dan kemajuan implementasi resolusi-resolusi yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-40 yang telah diadakan pada tahun lepas di Thailand.

Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty juga telah membuat kenyataan mengenai perlaksanaan resolusi dibincangkan dalam Komiti Ekonomi, Sosial dan Parlimen Wanita AIPA yang menyasarkan kepada penglibatan kementerian-kementerian yang berkaitan dalam perkembangan dan pembangunan negara.

Perbincangan juga telah memfokuskan laporan dari setiap negara ahli AIPA berkaitan dengan tema mesyuarat dan membincangkan peluang kerjasama antara parlimen ke
arah mengurangkan risiko dan mengukuhkan daya tahan ekonomi semasa menghadapi wabak Covid-19.

Mesyuarat kali ini telah meluluskan Laporan Rasmi Mesyuarat AIPA CAUCUS ke-11 dengan sebulat suara. Laporan tersebut seterusnya akan dibawa untuk diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-41 yang akan dihoskan oleh Vietnam.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Haji Hasrin mengetuai MMN bagi mesyuarat secara dalam talian di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin. – Gambar serahan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat