Wednesday, November 6, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    AIPA kekal relevan realisasikan matlamat ASEAN

    VIENTIANE, 11 OKT – Mesyuarat Sua Muka Pemimpin-pemimpin ASEAN-AIPA kali ke-13 sempena berlangsungnya Sidang-sidang Kemuncak ASEAN kali ke-44 dan ke-45 telah diadakan di Pusat Konvensyen Nasional (NCC), Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos, baru-baru ini.

    Mesyuarat tersebut telah diwakili oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji lbrahim.

    Mesyuarat Sua Muka Pemimpin-pemimpin ASEAN-AIPA merupakan acara tahunan di peringkat tertinggi bagi menjalinkan perhubungan, interaksi dan konsultasi untuk mengukuhkan kesepaduan dan kerjasama yang erat antara ketua-ketua kerajaan negara-negara anggota ASEAN dan parlimen negara-negara ahli ASEAN Inter-Parliamentary Assembly (AIPA).

    Terdahulu, Mesyuarat Persediaan bagi Mesyuarat Sua Muka ASEAN-AIPA telah pun diadakan antara ketua-ketua delegasi negara-negara ahli AIPA, di mana perwakilan Negara Brunei Darussalam berkesempatan untuk mengongsikan beberapa input kepada Mesej AIPA.

    Hasil daripada mesyuarat tersebut, Mesej AIPA telah pun dipertimbangkan dan dipersetujui bersama secara sebulat suara.

    Semasa mesyuarat, President of the National Assembly of Laos PDR selaku Presiden AIPA kali ke-45 telah pun menyampaikan Mesej AIPA di hadapan ketua-ketua kerajaan negara-negara anggota ASEAN dan ketua-ketua delegasi negara-negara ahli AIPA.

    Mesej AIPA tersebut disambut baik oleh beberapa ketua kerajaan negara anggota ASEAN yang mana secara keseluruhannya, telah mengambil baik usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh AIPA serta mempercayai peranan AIPA akan kekal relevan dalam merealisasikan matlamat ASEAN.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa menghadiri mesyuarat tersebut, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda