Air bah Sungai Nil bawa malapetaka

KHARTOUM – Di Pulau Tuti di Sudan, di mana Sungai Nil Biru dan Putih bertemu,paras air sungai tertinggi sejak rekod bermula telah mengakibatkan penduduk bergelut untuk membendung banjir yang meningkat.

Terletak di antara bandar berkembar Khartoum dan Omdurman, penduduk di Tuti mengisi beg-beg dengan pasir dan batu kecil dalam usaha selalunya sia-sia untuk menghalang air yang menghakis tebing sungai daripada membanjiri rumah mereka.

Sungai terpanjang dunia itu memberikan kehidupan, tetapi Nil juga membawa mala petaka dan kesengsaraan kepada ramai penduduk.

“Tiga hari lalu, air membanjiri rumah saya pada tengah malam,” kata Swakin Ahmad, berpakaian dalam skarf merah.

“Paras air mencecah lutut kami. Suami dan saya, bersama lima anak kami melarikan diri dengan membawa beberapa barang kepunyaan kami.”

Penduduk Sudan membina sekatan di tengah air banjir di pulau Tuti, di mana Nil Biru dan Putih bertemu di ibu negara Sudan Khartoum pada 3 September 2020. – AFP
Enshirah Sharaf (kiri), pakar psikologi Sudan, bercakap dengan mangsa banjir terbaharu di sebuah pusat pendidikan yang menempatkan mereka di pulau Tuti pada 3 September 2020. – AFP
Penduduk Sudan dan anggota keselamatan berdiri berdekatan himpunan beg pasir bagi menghalang kemasukan air di pulau Tuti. – AFP
Gambar menunjukkan kawasan yang dibanjiri di pulau Tuti. – AFP

Setiap tahun semasa musim hujan, sungai akan melimpah, dan penduduk pulau menjangka air akan naik.

Namun tidak ada apa-apa yang berlaku sebelum ini dibandingkan dengan banjir hari ini, kata penduduk.

“Pada tahun-tahun sebelumnya, kami akan meninggalkan rumah kami selama dua bulan untuk tinggal bersama kawan,” kata Ahmad.

“Namun adalah mustahil untuk melakukannya tahun ini kerana air telah memasuki rumah mereka juga.”

Pegawai pertahanan awam berkata banjir bermusim telah membunuh 94 orang, mencederakan 46 yang lain dan memusnahkan atau merosakkan lebih 60,000 buah rumah di seluruh Sudan semasa musim ini.

Paras Sungai Nil Biru telah naik kepada 17.57 meter, kata kementerian air dan saliran pada minggu ini, memecah semua rekod sejak ukuran mula dicatat lebih satu abad lalu.

Namun ramai bimbang keadaan paling teruk bakal melanda.

Hujan lebat diramalkan berterusan sehingga September, di Sudan dan kawasan hulu sungai di Habsyah, sumber Nil Biru.

“Orang muda cuba menyelamatkan barang-barang dari rumah saya,” kata Ahmad. “Namun ia sia-sia, disebabkan mereka mempunyai air mencecah sehingga paras leher mereka dan tidak dapat melihat apa-apa.”

Penduduk telah mendirikan bendungan sementara di haluan air, namun usaha mereka telah dihambat oleh air yang semakin naik.

Iqbal Mohamed Abbas, yang mengalu-alukan kebanyakan penduduk yang terpaksa meninggalkan rumah mereka di pusat pendidikan beliau, menggambarkan ‘keberanian orang muda yang cuba menggunakan kaedah mudah untuk memperlahankan aliran banjir.”

Beliau masih ingat peristiwa apabila pulau tersebut dibanjiri, tidak melupakan lagu yang dinyanyikan oleh datuk neneknya beberapa dekad lalu.

“Saya berasa bangga dengan usaha orang muda yang cuba menghalang air Nil dengan tubuh badan mereka,” kata Abbas, memetik lirik lagu.

Namun kali ini keadaan adalah jauh lebih teruk.

Kementerian air Sudan meramalkan banjir pada tahun ini adalah lebih besar daripada pada tahun 1998, yang memusnahkan puluhan ribu rumah di beberapa negeri dan menyebabkan satu juta penduduk kehilangan tempat tinggal mereka.

Pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Manusia (OCHA) menganggarkan lebih 380,000 orang telah pun terjejas di seluruh negara.

Banjir berlaku meskipun pembinaan empangan hidroelektrik yang kontroversi setinggi 145 meter di kawasan hulu Sungai Nil Biru, dan takungan besar di belakang yang mulai diisi oleh Habsyah.

Sudan dan Mesir menganggap empangan besar sebagai satu ancaman kepada bekalan air mereka, tetapi hujan lebat di tanah tinggi Habsyah telah meredakan kebimbangan kekurangan air dalam jangka pendek.

Namun sesetengah pakar, seperti kumpulan penyelidikan dan kempen yang berpangkalan di AS Sungai Antarabangsa, telah mengeluarkan amaran bahawa perubahan corak cuaca disebabkan perubahan iklim mungkin mengakibatkan episod banjir dan kemarau yang tidak menentu di lembangan penyaliran Nil Biru.

Bagi penduduk Tuti, sebab-sebab di sebalik banjir besar tidak menimbulkan kebimbangan, tetapi kehilangan rumah mereka yang merupakan tragedi.

Mereka rela menghadapi risiko lemas daripada meninggalkan harta mereka, kata pakar psikologi Enshirah Sharaf.

“Saya terpaksa memujuk mereka untuk meninggalkan rumah mereka, ia amat menyedihkan,” kata Sharaf. “Tidak ada apa-apa yang dapat dilakukan, air menderu masuk di merata tempat.”

Rumah penduduk semuanya dihanyutkan.

“Saya memberitahu mereka bahawa mereka masih boleh membina semula rumah, tetapi kami tidak boleh mengembalikan nyawa yang mati lemas,” kata Sharaf.

Tatkala penduduk menembok lebih banyak beg pasir, tentera tiba untuk menghulurkan bantuan.

Bagi Sudan, di mana diktator tentera Omar al-Basihir digulingkan pada tahun lalu, kehadiran tentera membawa bantuan merupakan satu perubahan dari era lampau.

“Saya melihat mata mereka merah akibat kekurangan tidur,” kata Hisham Kamal, seorang jeneral tentera, yang memimpin konvoi 90 trak membawa makanan dan pasir untuk membendung air.

“Saya datang untuk membantu,” kata beliau. “Ia adalah tugas kami.” – AFP