Air banjir surut kembali naik

Oleh Yusrin Junaidi

TUTONG, 5 SEPT – Hujan lebat baru-baru ini telah menyebabkan air banjir yang mula surut kembali naik dan menjejaskan beberapa kawasan kampung di Daerah Tutong.

Antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Benutan, Kampung Rambai, Kampung Ukong, Kampung Kuala Ungar/Bangkuru serta sebahagian kawasan Kampung Panchong dan Kampung Layong yang menyebabkan beberapa buah rumah dimasuki air serta beberapa batang jalan raya tidak dapat dilalui menggunakan kenderaan biasa dan pacuan empat roda.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Daerah Tutong, langkah-langkah persediaan seperti bantuan barang catuan dan pengangkutan telah pun diaturkan jika diperlukan oleh agensi-agensi yang berkaitan melalui pemimpin akar umbi di kampung-kampung yang terjejas mengikut garis pandu dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pembahagian barang-barang catuan daripada pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat diteruskan kelmarin di beberapa buah rumah di kawasan yang terjejas.

Sementara itu, Batalion Kedua, Tentera Darat Diraja Brunei menyediakan bantuan perahu untuk penduduk kampung yang memerlukan di kawasan Jalan Kecil Kampung Layong.

Antara rumah kediaman di Daerah Tutong yang terjejas akibat banjir. – Gambar serahan Pejabat Daerah Tutong
Antara jalan raya di kawasan terjejas yang dinaiki air dan tidak dapat dilalui kenderaan biasa.

Dalam keadaan banjir dan cuaca yang tidak menentu serta negara yang masih dilanda wabak COVID-19 ini, pihak jabatan ingin memohon kerjasama daripada penduduk kampung supaya sentiasa berada di rumah.

Perkara ini juga selaras dengan peraturan-peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan yang perlu dipatuhi demi membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.

Kerjasama dan kefahaman penduduk kampung dalam perkara berkenaan adalah sangat diharapkan bagi sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan awam. Sebarang masalah atau keperluan bantuan boleh menghu ungi pemangku ketua kampung masing-masing.

Selain itu, Jabatan Daerah Tutong juga mengingatkan para penduduk kampung supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan dan sentiasa memantau anak-anak supaya tidak bermain di kawasan banjir bagi keselamatan bersama.

Pemantauan paras air telahpun dilaksanakan sejak kejadian hujan lebat bermula pada pertengahan Ogos lalu.

Kenyataan menyatakan, keadaan paras air banjir masih dalam keadaan terkawal dan pihak Jabatan Daerah Tutong bersama agensi-agensi yang berkenaan dan pemimpin masyarakat akan sentiasa membuat pemantauan perkembangan paras air banjir dari semasa ke semasa.