Air Canada lakukan pendaratan cemas di Hawaii

TRENTON, 12 JULAI – Tiga puluh penumpang cedera dengan sembilan daripada mereka parah apabila satu penerbangan Air Canada terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Hawaii kelmarin, lapor agensi berita Turki memetik kenyataan jurucakap Air Canada.

Pesawat itu dalam perjalanan ke Sydney, Australia dari Vancouver apabila bertembung gelora yang kuat. Ia melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K. Inouye di Honolulu pada pukul 6.45 pagi waktu tempatan.

Laporan awal menyebut tiada kecederaan serius berlaku.

“Nampaknya sejumlah 35 penumpang mengalami kecederaan ringan,” menurut jurucakap Air Canada.

Bagaimanapun, dalam sidang akhbar pada kira-kira pukul 7 malam, seorang pegawai yang memberikan maklumat terkini berkata jumlah mangsa yang cedera ialah 30 orang, dengan sembilan daripada mereka parah selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala dan belakang serta luka melecet.

Apabila pesawat jenis Boeing 777-200 yang membawa 269 penumpang dan 15 anggota kru itu merempuh gelora tersebut, penumpang mengalami gegaran kuat.

“Kami merempuh gelora itu dan kepala kami terhantuk ke bahagian bumbung pesawat,” kata Jess Smith yang tidur sebelum itu namun terjaga apabila pesawat tersebut bergegar.

Seorang lagi penumpang memberitahu media bahawa pesawat itu “berpusing-pusing di udara.” – Bernama

Gambar serahan Hurricane Fall menunjukkan kru kecemasan memberikan rawatan kepada penumpang dalam penerbangan Air Canada ke Australia yang dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K.Inouye di Honolulu. – AP