Air France bincang kurangkan pekerjaan

PARIS, 3 JULAI – Air France hari ini telah mengadakan pertemuan dengan perwakilan anggota kakitangan untuk membincangkan pengurangan ribuan pekerjaan selepas wabak virus yang menyebabkan kebanyakan penerbangan berdepan dengan kesukaran untuk terus bertahan.

Sebelum perbincangan bermula, aktivis dari kesatuan CGT telah mengadakan bantahan di ibu pejabat Air France di Lapangan Terbang Charles de Gaulle Paris.

Mereka melahirkan kekecewaan terhadap kerajaan Perancis kerana tidak mewajibkan syarikat itu untuk melindungi pekerjaan kakitangannya selepas mendapat peruntukan dari kerajaan pada Mei lalu.

Kesatuan memberi amaran bahawa pengurangan pekerjaan akan menjejaskan ekonomi Perancis.

Laporan media Perancis mengatakan syarikat penerbangan itu berusaha untuk mengurangkan 7,500 pekerjaan, terutamanya melalui pemberhentian sukarela.

Syarikat penerbangan di seluruh dunia diramalkan akan kehilangan AS$84 bilion tahun ini dan para pegawai meramalkan industri itu akan mengambil masa bertahun-tahun untuk kembali pulih.

Bantuan negara untuk Air France adalah dalam bentuk pinjaman dan jaminan pinjaman dan merupakan sebahagian daripada rancangan penyelamatan yang lebih luas dari kerajaan untuk sektor penerbangan. – AP