Air kekuningan, tekanan rendah di beberapa kawasan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 JAN – Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan ingin memaklumkan kepada orang ramai mengenai dengan kualiti air yang kurang memuaskan pada masa ini dan melibatkan beberapa kawasan di daerah ini.
Antara kawasan yang terlibat ialah Kampung Serasa, Kampung Mentiri, Kampung Kapok, Kampung Sungai Buloh, perumahan Kampung Panchor Mengkubau, sebahagian Kampung Kota Batu dan sekitarnya.

JKR dalam kenyataannya menjelaskan bahawa masalah air berwarna adalah berpunca daripada hujan berpanjangan pada musim ini yang menyebabkan banyak bahan organik dan tanah mengalir ke tadahan empangan melalui aliran permukaan bumi yang menyebabkan kandungan mineral dan bahan organik menjadi tinggi.

Walau bagaimanapun, tambah kenyataan, pihak jabatan telah meningkatkan usaha untuk menangani isu air berwarna dengan melaksanakan pelbagai kerja-kerja operasi seperti mencuci tangki-tangki simpanan air menggunakan kimia tambahan.

Di samping itu, pihak jabatan juga mengawas kualiti bekalan air berdasarkan parameter garis pandu piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan sentiasa menjalankan pemantauan rutin ujian sampel air dari beberapa lokasi di Daerah Brunei dan Muara serta melaksanakan operasi flushing rangkaian paip air secara berterusan di kawasan-kawasan terlibat.

JKR turut menasihati orang ramai terutamanya yang mempunyai tangki rumah dan penapis air persendirian untuk memastikan peralatan tersebut sentiasa dalam keadaan bersih.
Selain daripada itu, JKR juga ngin memaklumkan kepada orang ramai mengenai kerja-kerja penyambungan paip baharu berukuran 335mm di Jalan Kota Batu berdekatan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang akan dilaksanakan pada hari ini (13 Januari) bermula 9:30 malam sehingga 4 pagi pada hari berikutnya.
Oleh itu, pengeluaran air bersih akan berkurangan dari jumlah biasa dan beberapa kawasan akan menerima tekanan air rendah.