Air kumbahan untuk tanaman sayur di Bolivia

LA PAZ – Apa yang telah dibuang khususnya oleh penduduk di kawasan ibu kota Bolivia akan digunakan untuk mengairi sayur-sayuran bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan. Bagi seorang petani, Richard Mamani, ia merupakan salah satu tradisi keluarga yang diwarisi.

Seperti ibu dan ayahnya, mereka turut menggunakan air dari kumbahan yang tidak dirawat untuk mengairi sayur-sayuran mereka di mana ia menjadi sumber mata pencarian utama khususnya bagi penduduk-penduduk di bandar Valencia di selatan La Paz.

Dia sebenarnya mempunyai air yang bersih untuk diminum setelah beberapa tahun yang lalu namun air yang bersih ini terlalu mahal untuk digunakan dalam proses tanam-tanaman. “Kami tidak menggunakan baja untuk menjaga sayur-sayuran ini,” katanya.

Walau bagaimanapun, dia tahu risiko menggunakan air yang tidak bersih ini kerana kadang-kadang air ini boleh mencemarkan kebun-kebunnya.

“Saya tahu ia sangat bahaya khususnya untuk kesihatan kita, tetapi kami terpaksa melakukannya bagi mengelakkan kelaparan,” kata Mamani.

Kebanyakan petani di Lap Paz menggunakan air kumbahan untuk mengairi kebun sayur-sayuran mereka. – Agensi

Bolivia merupakan antara salah satu negara termiskin di Amerika Selatan dan negara yang tidak mempunyai loji rawatan sisa air yang bermutu tinggi. Air paya yang tidak dirawat dari rumah-rumah kediaman dan kilang akan mengalir ke Sungai Choqueyapu, Cotahuma dan Orkohauira yang akan terus mengalir ke kawasan hab pertanian selatan di bandar tersebut.

Menangani masalah

Laporan alam sekitar yang dibuat pada tahun 2013 oleh pengawal umum Bolivia menggambarkan rutin petani ini sebagai pendekatan yang sangat buruk. Kementerian Alam Sekitar dan Air mengatakan bahawa mereka berharap untuk mengubah situasi ini dengan membina lebih banyak loji rawatan air di bandar itu.

Pada masa ini, apa yang dikeluarkan dan dipasarkan di La Paz sering mengalami pencemaran. Audit yang telah dibuat oleh pengawal umum mengatakan bahawa sekitar 12.5 peratus produk pertanian telah diterima manakala 25 peratus tidak dapat diterima dan 62.5 peratus ditolak seratus peratus.

Air kumbahan ini boleh membawa parasit, termasuk E.Coli. Jangkitan E.Coli boleh menyebabkan cirit-birit, kekejangan perut dan muntah-muntah. Tidak ada kajian khusus yang menunjukkan kesannya terhadap penduduk tempatan tetapi institut kesihatan makmal kebangsaan mengatakan bahawa sekitar 70 peratus penyakit cirit-birit dikaitkan dengan pemakanan yang telah dicemari, termasuk sayur-sayuran.

Pencemaran ini turut menyebabkan sungai-sungai di beberapa bandar Bolivia yang lain seperti Cochabamba dan Santa Cruz tercemar di mana 65 peratus daripada 11 juta penduduk Bolivia bermastautin. Aktiviti perlombongan sering mencemari saluran air di bandar-bandar kecil di negara tersebut. – AP