Air mata gembira penduduk Long Puak

Oleh Kurniawati Kamarudin

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya selepas lebih 28 tahun bergantung hidup kepada air hujan, 500 orang penduduk Kampung Long Puak, di pedalaman Miri, Sarawak kini boleh melupakan penderitaan itu.

Sejak 17 Mei lepas, paip yang dipasang di rumah penduduk, mula membekalkan air bersih yang diperolehi dari kawasan air terjun yang berdekatan. Tiada kata-kata yang mampu mereka ucapkan selain menitiskan air mata kegembiraan saat melihat air bersih keluar daripada paip setelah puluhan tahun lelah menadah air hujan untuk keperluan harian.

Suasana yang cukup mengharukan itu turut disaksikan sendiri oleh hampir 100 sukarelawan belia Persatuan Gerakan Kemanusiaan Malaysia  (PGKM)  dan belia tempatan yang bertungkus lumus menjayakan Projek Gotong Royong Saliran Air Bersih di kampung itu.

 Menurut Ketua Projek yang juga Presiden PGKM, Khairul Annuar Mansor, air hujan adalah sumber air utama penduduk Kampung Long Puak sejak penempatan itu dibuka lebih 28 tahun lalu.

Walaupun kesulitan itu sudah dianggap seperti  “alah bisa tegal biasa”, namun setiap hari penduduk kampung dari suku kaum Kenyah itu tetap berdoa mengharapkan sumber air yang lebih bersih dapat dinikmati satu hari nanti.

Sejak 17 Mei lepas, paip yang dipasang di rumah penduduk, mula membekalkan air bersih yang diperolehi dari kawasan air terjun yang berdekatan. – Bernama
Seramai 70 anak-anak muda Kampung Long Puak bersama para sukarelawan menggembeleng tenaga dalam projek gotong-royong menjalankan saliran air bersih buat pertama kalinya selepas lebih 28 tahun bergantung hidup kepada air hujan. – Bernama

Beliau berkunjung ke pejabat Bernama sebaik sahaja selesai tugas di Kampung Long Puak untuk berkongsi kejayaan menyediakan air bersih kepada penduduk kampung berkenaan.

Bercakap lebih lanjut tentang Projek Gotong-Royong Saliran Air Bersih ini, beliau berkata ia dirancang sejak 2017.

Cetusan idea

Projek itu juga adalah sebahagian daripada inisiatif  program  “SDG (Sustainable Development Goals) Among Orang Asli, Young Women And Youth In Rural Area in Sabah dan Sarawak” anjuran Pusat Belia Antarabangsa Kuala Lumpur ( IYCKL).

Mengenai pemilihan Kampung Long Puak, beliau menjelaskan ia dicadangkan oleh salah seorang ahli persatuan PGKM, Siti Shazleen Shazali yang  juga penduduk di Long Puak. Ketika tinjauan awal dibuat pada 20 November 2017, misi utama adalah untuk membangunkan orang muda di kampung itu agar tidak terus tercicir  daripada pembangunan belia.

Selain bekerja di Miri yang jaraknya lebih kurang 300 kilometer dari kampung berkenaan dengan tiga jam perjalanan darat, ada juga penduduk yang bekerja di syarikat kuari yang letaknya lebih kurang 10 kilometer dari kampung dan  tinggal di rumah pekerja yang disediakan majikan. Kebanyakan mereka yang bekerja di syarikat kuari hanya pulang ke kampung pada hujung minggu.

Menurut Khairul, ketika berbincang dengan wakil penduduk kampung, Pius Jau bersama beberapa orang kampung, mereka meluahkan harapan yang terlalu tinggi agar ada pihak dapat menyelesaikan isu air bersih di kampung itu.

Dalam perbincangan itu juga mereka menyatakan terdapat sumber air terjun berdekatan dengan kampung tetapi perlu menyeberang Sungai Baram yang terkenal sebagai salah satu lubuk buaya di Sarawak.

Cabaran projek

Seperti yang dijangkakan, lokasi kampung yang jauh di pedalaman memerlukan kos logistik yang sangat tinggi. Semua peralatan dan barangan untuk projek ini dibeli di bandar Miri. Dari Miri mereka perlu melalui jalan bertar hingga ke Long Lama lebih kurang dua jam dan kemudian menyambung dengan melalui  jalan  balak  selama satu jam untuk sampai ke kampung.

Sewaan kenderaan pacuan empat roda dan lori pergi dan balik  untuk membeli dan mengangkut barang  cukup mahal, katanya.

Kerja awal dimulakan dengan memasang tangki dan paip di kawasan kampung. Kemudian baharu dibuat empangan di kawasan air terjun yang jaraknya lebih kurang empat kilometer ke kampung.

Paip hitam sepanjang empat kilometer perlu ditarik untuk disalurkan ke tangki paip setiap pintu rumah. Kampung Long Puak mempunyai dua blok rumah panjang. Setiap blok mempunyai 15 pintu. Semuanya dilakukan menggunakan tenaga manusia secara manual, katanya.

Menurut beliau, cabaran paling getir ialah apabila perlu menarik paip hitam merentasi Sungai Baram untuk sampai ke Kampung Long Puak yang dilakukan pada awal Ramadan lalu.

Mereka perlu beramai-ramai turun ke sungai selebar 150 meter dan kemudian menurunkan batu besar untuk menenggelamkan paip tersebut ke dasar sungai.

Beliau berkata sukar untuk mengungkapkan kegembiraan semua pihak yang terlibat di dalam projek itu apabila air bersih sampai ke rumah penduduk selepas genap sebulan projek ini dimulakan.

Bangunkan orang muda

Selain merealisasikan projek bekalan air bersih terus ke 30 pintu rumah panjang di Long Puak, matlamat membangunkan orang muda di kampung tetap diteruskan. Sebagai permulaan persatuan belia diwujudkan di kampung itu untuk menggerakkan anak-anak muda melibatkan diri dalam pembangunan kampung mereka.

Disebabkan projek air bersih ini, orang-orang muda di kampung ini sudah mula balik terutama hujung minggu, katanya. “Hampir 70 orang anak-anak muda yang bekerja di luar balik ke kampung untuk sama-sama membantu mencurahkan tenaga dalam projek ini. Ini adalah satu permulaan yang baik dan kami akan meneruskan untuk fasa kedua nanti bagi membantu anak-anak muda membangunkan ekonomi kampung ini terutama ekopelancongan,” katanya.

Selain itu kumpulan sukarelawan juga  turut bergotong-royong bersama penduduk untuk membersihkan kawasan kampung dan mengecat rumah penduduk bagi menghidupkan suasana yang lebih cantik dan selesa.

Keindahan suasana desa di sini yang tenang dan nyaman dengan dikelilingi hutan yang menghijau serta keunikan budaya masyarakat suku Kenyah boleh dijadikan sebagai satu tarikan pelancongan.

Menurut Khairul, projek yang sama akan diteruskan di dua buah kampung berdekatan yang mempunyai masalah sama iaitu ketiadaan sumber air bersih.

Kampung yang dikenal pasti ialah Long Banyok (2,000 penduduk melibatkan 150 buah pintu) dan Uma Akeh (600 orang penduduk melibatkan 40 buah pintu).

“Kami akan membuat tinjauan awal ke kawasan kampung itu selepas  Aidilfitri nanti dan kami berharap usaha ini akan berjaya seperti di Kampung Long Puak,” katanya. – Bernama