SEPANG, 18 Feb – Menerima sebotol air mineral 500ml sebagai tanda terima kasih daripada seorang bapa dan menyambut kelahiran sepasang anak damit kembar lelaki merupakan antara pengalaman menyentuh hati yang dilalui pasukan ketiga petugas Kementerian Kesihatan di Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh.
Ketua pasukannya, Dr Khairi Kassim berkata, sebotol air mineral berkenaan diberikan oleh seorang bapa daripada masyarakat etnik Rohingya selepas seorang pakar bedah Malaysia berjaya membedah anak lelakinya berusia tujuh tahun yang menghadapi masalah hernia bulan lepas.
“Bapa berkenaan berkata kepada pakar bedah tersebut, doktor terimalah air mineral ini sebagai tanda terima kasih dari saya. Saya tidak mampu untuk memberi hadiah lain.
“Pengalaman ini meningkatkan semangat petugas Hospital Medan Malaysia untuk memberikan khidmat lebih baik kepada masyarakat Rohingya,” katanya kepada pemberita selepas tiba dari Bangladesh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Dr Khairi, yang juga Pakar Perubatan Kecemasan Hospital Shah Alam, berkata masyarakat Rohingya sedih dan menangis ketika dimaklumkan bahawa mandat operasi Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar adalah selama tiga bulan sehingga 16 Feb.
Ini kerana masyarakat Rohingya sangat bergantung kepada Hospital Medan Malaysia kerana mereka sukar untuk mendapatkan kemudahan rawatan di fasiliti kesihatan Bangladesh, katanya.
Dr Khairi berkata, beliau berharap dapat berkhidmat lagi di Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar jikadiberikan peluang.
“Hospital Medan Malaysia menjadi rujukan banyak pihak kerana kemampuan untuk memberi rawatan terbaik. Sebagai rakyat Malaysia saya sangat bangga,” katanya. – Bernama