JOHOR BAHRU, 16 April – Malaysia menaruh harapan agar Singapura bersetuju untuk mengadakan rundingan fasa kedua Perjanjian Air 1962 yang membabitkan modaliti harga, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.
Menegaskan bahawa fasa berikutnya merupakan ‘fasa yang agak sukar’, beliau berkata Singapura tidak menolak daripada membincangkannya (modaliti harga) tetapi akan mendapati perkara itu sesuatu yang ‘rumit’ untuk dibicangkan.
“Bagi kita, kita kini memasuki fasa kedua perundingan di mana kita sepatutnya membincangkan modaliti harga. Untuk berlaku adil kepada rakan saya dari Singapura, saya fikir pendirian mereka tidak berubah.
“Saya fikir mereka akan mendapati sukar untuk menerima bahawa kita kini sudahpun memasuki fasa kedua perundingan,” katanya kepada pemberita di UTM, Skudai, di sini hari ini.
Saifuddin berkata demikian ketika ditanya tentang bagaimana proses timbang tara akan berkesan berikutan Malaysia dan Singapura sedang mempertimbangkan timbang tara sebagai cara untuk menyelesaikan isu air antara kedua negara yang lama tertangguh. – Bernama