Air pancut mini pamer daya kreatif

Oleh Amri HTZ

Dalam membantu pihak kerajaan membendung gelombang kedua wabak COVID-19 di negara ini, para penduduk disarankan untuk kekal ‘teranah di rumah’ bagi meminimumkan jumlah dan risiko jangkitan.

Dengan langkah yang telah diterapkan, duduk di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti setentunya akan memberikan tekanan pada diri oleh itu, kita perlu bijak manfaatkan masa terluang mengisikannya dengan projek DIY.

Salah satu projek yang mudah untuk dilakukan di rumah dengan jumlah barangan yang diperlukan cukup minimum ialah mereka struktur air terjun mini dilengkapi ruangan untuk menanam tumbuhan.

Antara barang yang diperlukan ialah pisau utiliti, pembaris jenis besi, berus, kulir simen, polistirena foam, paip PVC, penutup paip PVC, siku paip PVC 90 darjah, simen, gam paip, pasir, pam air mini (submersible), kotak kadbod, pen penanda, mesin gerudi, mata gerudi, hos, gergaji besi atau pemotong (cutter) khusus PVC dan gam silikon.

Langkah pembuatan begitu mudah

Untuk langkah pertama pembuatan, polistirena foam yang telah disediakan akan dipotongkan dengan ukuran 40sm x 54sm. Setiap kepingan (berjumlah empat keping) polistirena foam dengan ketebalan 4sm akan dipotongkan dengan pisau utiliti dan pastikan pisau yang digunakan benar-benar tajam. Ini kerana pisau yang tumpul tidak akan memotong polistirena foam dengan sempurna, malahan bahagian potongan menjadi tidak rata.

Langkah menempatkan pam air (submersible) pada ruangan bawah struktur air pancut mini.
Teknik mereka permukaan unik rekaan dengan hanya menggunakan berus.

Permukaan polistirena foam yang telah dilorek untuk menempatkan paip PVC bagi pengaliran air.
Kepingan polistirena foam untuk bahagian luar (depan dan belakang struktur rekaan) pada bahagian bawahnya akan dilorek bagi ruangan menakung air.
Permukaan polistirena foam akan disapukan simen dengan nipis untuk beberapa lapisan sebelum memberikan lapisan lebih tebal.

Setelah itu, pada bahagian dalamnya (di tengah-tengah) akan ditebuk dengan lubang berukuran 24sm x 30sm. memandangkan terdapat lebih daripada satu keping polistirena foam yang akan ditebuk, penulis menyarankan agar anda menggunakan templat. Caranya, lakar dan potong kadbod daripada kotak terpakai dengan ukuran 23sm x 30sm dan potong menggunakan pisau utiliti atau gunting. Templat yang direka ini hanya perlu ditiru bahagian luarannya ini pada permukaan tengah polistirena foam sebelumnya.

Selesai memotongkan bahagian dalaman polistirena foam, langkah seterusnya memerlukan anda melorek ruangan untuk menempatkan paip PVC bagi pengaliran air dari pam air nanti. Bagi memastikan ruangan yang akan dilorek bertepatan dengan ukuran PVC yang akan dimasukkan, langkah awal ialah mencantumkan keseluruhan bahagian paip menjadi satu. Mulakan dengan memotong sebatang paip PVC dengan ukuran 30sm panjang dan 7sm (paip berdiameter 15mm) menggunakan gergaji besi atau pemotong khusus PVC.

Selesai memotongkannya, sepanjang permukaan tengah paip PVC berukuran 30sm panjang akan ditebuk dengan lubang berukuran 3mm menggunakan mata gerudi 3mm. Lubang-lubang kecil yang selari ditebuk pada bahagian tengah ini berfungsi sebagai lubang untuk air mengalir ketika melaluinya nanti. Melalui paip PVC yang sama, salah satu bahagian hujung akan dicantumkan dengan penutup paip berukuran 15mm. Sementara bahagian hujung satu lagi akan dicantumkan dengan siku paip 45 darjah. Ketika menetapkan siku paip 45 darjah pada paip PVC, pastikan paip pada kedudukan yang betul di mana lubang-lubang tadi akan menghala ke bawah.

Bahagian hujung siku paip PVC yang satu lagi pula akan dicantumkan dengan PVC berukuran 7sm panjang diikuti dengan paip PVC yang lebih kecil lagi yang akan dijadikan sebagai penyambungan untuk hos nanti. Selain penggunaan paip PVC berdiameter sama dengan bahagian lubang paip PVC utama, penggunaan penyambung paip dengan bahagian hujung yang lebih kecil atau sesuai dengan besar hos juga boleh digunakan.

Struktur paip untuk saluran air yang telah siap dicantumkan kemudiannya akan diletakkan pada permukaan polistirena foam bagi memudahkan anda melorek ruangan untuk me-nempatkannya dengan memilih salah satu polistirena foam yang tersedia.

Sementara bahagian ba-wahnya (juga pada polistirena foam yang sama) akan ditebuk dengan ukuran 28sm x 10sm sebagai ruangan untuk takungan air. Bentuk yang sama juga perlu ditebuk pada salah satu polistirena foam lagi tetapi tanpa ruangan untuk paip PVC bahagian atas (rujuk gambar). Sementara untuk dua polistirena foam selebihnya pada bahagian bawahnya akan dilorek ke dalam 2sm sesuai dengan ukuran polistirena foam yang telah ditebuk sebelumnya bagi menakung air.

Cantumkan kepingan polistirena foam menggunakan gam silikon dan pastikan keseluruhan permukaan cantuman disapukan rata dengan gam. Ini dilakukan agar air yang ditempatkan nanti tidak bocor melalui bahagian cantuman.

Setelah mencantumkannya menjadi satu, bahagian atas struktur polistirena foam akan ditebuk dengan ruangan 5sm dari setiap sudut hujung polistirena foam berkedalaman lebih kurang 7sm. Ruangan tersebut adalah bagi menempatkan tumbuhan yang dipilih.

Dengan siapnya struktur air pancut tersebut, permukaan luarannya akan ditutupi dengan simen (dicampur air dengan nisbah 1:1 )dengan cara menyapukan nipis pada permukaan polistirena foam. Campuran simen yang disapukan akan dibiarkan mengering sebelum memberikan lapisan kedua, ketiga dan keempat. Setelah itu, campuran simen bagi lapisan kelima akan disapukan dengan tebal pada keseluruhan permukaan. Tujuannya bagi membolehkan anda membentuk permukaan unik dengan cara menekankan hujung berus secara perlahan menjadikan sesetengah permukaan timbul manakala sesetengahnya tenggelam.

Biarkan simen mengering lebih kurang 24 jam sebelum menyapukannya lagi pada permukaan yang lainnya.

Setelah simen mengering, bahagian ruangan di mana air akan ditempatkan perlu diisikan dengan batu-batu kecil seperti yang terjual di kedai-kedai ikan peliharaan.

Tujuannya bagi meniru keadaan sebuah air terjun alami sekali gus menghiasi rekaan. Manakala untuk bahagian atas pula akan diisikan dengan media tanah bagi menempatkan tumbuhan.

Dengan terbinanya air pancut berisi tumbuhan ini, ia setentunya akan menyerikan lagi ruangan rumah di mana ia ditempatkan.