KUALA LUMPUR, 19 MEI – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia telah melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan pelanggan atau penumpangnya termasuk yang memerlukan bantuan, menikmati perjalanan dengan lebih yakin dan selesa dalam persekitaran norma baharu penerbangan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Javed Malik berkata langkah terbabit dilaksanakan menerusi fasa penerbangan yang berbeza iaitu sebelum dan ketika dalam penerbangan.
“Kami telah menasihati pelanggan untuk memeriksa kelayakan perjalanan masing-masing sebagai langkah pertama. Ini disebabkan setiap negara melaksanakan peraturan berbeza dan pelanggan perlu memeriksa peraturan sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan di negara terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Malah, katanya, anak kapal penerbangan itu sentiasa gigih memastikan persekitaran pesawat dan kabin bersih dan menjalani proses pembasmian kuman. – Bernama




























