AirAsia bangunkan inovasi teknologi tanpa sentuh

KUALA LUMPUR, 12 SEPT – Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia telah membangunkan pelbagai inovasi dan pembaharuan teknologi tanpa sentuh yang membolehkan para tetamu terbang dengan lebih selesa dan selamat dalam persiapan rancaknya untuk kembali terbang ke destinasi percutian bermula dengan Langkawi pada 16 September ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, AirAsia berkata ia termasuk sistem daftar masuk yang mudah dan pantas yang membolehkan tetamu memuat naik dokumen kesihatan dan vaksinasi mereka untuk pengesahan segera melalui airasia Super App sebelum ke lapangan terbang.

Ini bermakna tidak perlu lagi beratur untuk ke kaunter atau bersesak di lapangan terbang, jelasnya.

“AirAsia turut memastikan prosedur operasi dilaksanakan dengan standard tertinggi termasuklah dengan menugaskan hanya kru penerbangan yang telah divaksinasi sepenuhnya untuk mengendalikan pesawat.

“Manakala ciri-ciri keselamatan pesawat itu sendiri seperti sistem pengudaraan dan penapis berkuasa tinggi yang digunakan di dalam kabin juga menjamin udara yang paling bersih untuk para tetamu, seperti mana yang dibuktikan melalui pelbagai kajian dan penyelidikan antarabangsa,” tambahnya.

Sebelum menempah tiket penerbangan, AirAsia turut menasihati para penumpang supaya memastikan beberapa perkara untuk menjamin perjalanan yang lancar.

Antaranya menyemak jika ada sebarang peraturan atau syarat-syarat tertentu yang telah ditetapkan untuk ke Langkawi dan destinasi lain termasuklah keperluan menyediakan dokumen kesihatan dan perjalanan seperti kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa lain, sekiranya diperlukan. – Bernama