AirAsia catat permintaan kukuh penerbangan ke Langkawi

KUALA LUMPUR, 14 SEPT – AirAsia mencatatkan permintaan kukuh bagi penerbangan ke Langkawi berikutan pengumuman kerajaan mengenai prosedur operasi standard (SOP) sempena gelembung pelancongan ke pulau itu pada minggu lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata syarikat itu telah mencapai 200,000 jualan tiket susulan pembukaan semula pulau itu kepada pelancong domestik yang telah lengkap divaksinasi, bermula 16 September ini.

“Bagi (tempahan) hari pertama sahaja (9 Sept), kita telah menjual hampir 30,000 tiket,” katanya pada sidang media secara maya berhubung gelembung pelancongan ke Langkawi dan pelancaran produk-produk airasia Super App.

Riad berkata AirAsia Malaysia akan menyambung semula 90 penerbangan mingguan ke Langkawi dan dari Langkawi iaitu berlepas dari Kuala Lumpur (63 kali seminggu), Pulau Pinang (14 kali seminggu), Johor Bahru (tujuh kali), Ipoh (tiga kali) dan Kota Bharu (tiga kali).

Menurutnya tiket penerbangan AirAsia Malaysia bagi September dan Oktober laris dijual, menyebabkan syarikat penerbangan itu yakin momentum tersebut akan berterusan.

Selain tu, airasia Super App bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) untuk menawarkan pengalaman baharu membeli-belah bebas cukai secara digital dan tanpa sentuh, yang akan menyaksikan penghantaran pada hari yang sama ke seluruh hotel di Langkawi pada akhir bulan ini.- Bernama