KUALA LUMPUR, 28 Jan – AirAsia Group Bhd mencatatkan peningkatan sebanyak 14 peratus kepada 74.8 juta dalam trafik penumpang bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018, membabitkan kesemua enam pesawat dengan Sijil Pengendali Udara (AOC).
Syarikat penerbangan tambang rendah itu juga telah mengembangkan kapasitinya pada sepanjang tahun terbabit, dengan tempat duduk tersedia untuk setiap kilometer (ASK) meningkat 15 peratus dan berjaya mencapai sasaran beban keseluruhan tahunan kumpulan sebanyak 85 peratus melalui saiz armada berjumlah 224 pesawat. Kesepaduan AOC yang merangkumi Malaysia, Indonesia dan Filipina terus menyampaikan pertumbuhan pada suku keempat berakhir 31 Disember 2018, dengan angka penumpang yang dibawa menokok 16 peratus kepada 12.1 juta orang pada musim suku yang kukuh.
Faktor beban pada suku keempat direkodkan sebanyak 84 peratus, turun empat mata peratusan dari tahun ke tahun disebabkan oleh peningkatan ketara dalam kapasiti, manakala, ASK naik sebanyak 14 peratus.
“Ini adalah selaras dengan strategi kami yang mahu meningkatkan penguasaan pasaran,” kata AirAsia dalam satu kenyataan hari ini. Malaysia mencatatkan kenaikan sebanyak sembilan peratus dalam ASK, dan memperkenalkan gabungan laluan domestik dan antarabangsa pada suku keempat dengan jumlah penumpang yang dibawa tumbuh sebanyak sembilan peratus untuk mencecah lebih daripada 8.5 juta penumpang. – Bernama

































