Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    AirAsia (China) akan ditubuh

    BEIJING, 14 Mei – AirAsia Bhd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan China Everbright Group dan Henan Government Working Group untuk menubuhkan syarikat penerbangan tambang rendah di China.

    MoU itu membolehkan pihak-pihak terbabit menubuhkan sebuah syarikat usaha sama yang akan dikenali sebagai AirAsia (China) bagi tujuan mengendalikan perniagaan penerbangan tambang rendah berpangkalan di Zhengzhou, ibu kota wilayah Henan di bahagian tengah China.

    Selain itu, AirAsia (China) akan melabur dalam prasarana penerbangan, termasuk terminal penerbangan tambang rendah khusus di lapangan terbang Zhengzhou dan akademi penerbangan untuk melatih juruterbang, kru dan jurutera, serta kemudahan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi menyenggara pesawat.

    MoU itu dimeterai antara Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes, Pengarah Eksekutif dan Presiden Everbright Financial Investment Holding, Wang Weifeng dan Pengurus Besar Henan Airport Group, Li Weidong di China World Hotel, di sini, hari ini.

    Majlis itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dalam rangka lawatan selama lima hari ke China.

    Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan AirAsia Fam Lee Ee dan Presiden Asia Utara AirAsia Kathleen Tan.

    Naib Pengerusi dan Presiden China Everbright Group Gao Yunlong berkata: “Kami gembira menjadi sebahagian daripada usaha sama ini dalam membawa AirAsia ke China. Kami percaya China telah bersedia bagi penerbangan tambang rendah sebenar dan kami merasakan hanya AirAsia yang mampu menunaikan janji dengan menyediakan nilai sebenar kepada pelanggan China, hasil daripada kombinasi unik tambang rendah dan perkhidmatannya yang banyak memenangi anugerah.”

    Timbalan Gabenor Kerajaan Wilayah Henan Shu Qing berkata, “Henan sangat gembira untuk menawarkan tempat kepada AirAsia di China. Zhengzhou sebelum ini pernah menjadi ibu kota purba China. Dengan AirAsia menyokong aeropolis bandar raya ini – zon perindustrian, komersial dan logistik yang lima kali lebih besar daripada saiz Manhattan dengan lapangan terbang berada di tengah-tengahnya – kami amat yakin kami akan berjaya mentransformasikan  Zhengzhou menjadi ibu kota baharu bagi pengangkutan dan logistik serantau dan global.”

    Mengulas mengenai perjanjian itu, Fernandes berkata Zhengzhou dipilih sebagai pangkalan disebabkan oleh lokasi strategiknya dan kepentingannya sebagai hab logistik.

    “Sebagai pintu masuk China ke Eropah, Zhengzhou terletak di tengah-tengah rangkaian pengangkutan kereta api, lebuh raya dan udara yang membentuk tunjang pelan pembangunan China bagi wilayah tengah dan baratnya.

    “Usaha sama dengan China ini melengkapkan usaha pengembangan AirAsia. Dalam masa hanya 16 tahun, kami berjaya bertapak di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Jepun, dengan China menjadi pemuktamad bagi semua rantau utama di Asia Pasifik,” katanya.

    Sementara itu Kamarudin menganggap MoU hari ini sebagai yang terkini dalam kerjasama strategiknya dengan syarikat China, daripada Tencent, Alipay dan Union Pay bagi pembayaran kepada perindustrian kepada Commercial Bank of China bagi pembiayaan pesawat dan China Aircraft Leasing Group Holdings Ltd bagi pajakan pesawat.

    “Selain itu, kami bekerjasama rapat dengan Huawei untuk mewujudkan penerbangan digital dan lapangan terbang pintar bagi mengubah cara kami menawarkan perkhidmatan penerbangan,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda