BHUBANESWAR, 27 APRIL 2017 – AirAsia mencatat sejarah sekali lagi sebagai syarikat penerbangan pertama di dunia beroperasi terus dari Kuala Lumpur ke Bhubaneswar, India.
Laluan baharu syarikat penerbangan ini menawarkan kekerapan empat kali seminggu penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke ibu kota negeri Odisha, India.
Majlis sambutan telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Biju Patnaik bagi meraikan ketibaan penerbangan AK31 dengan pesawat Airbus A320 ke Bhubaneswar, India.
Penerbangan itu tiba pada pukul 11:35 malam semalam dan disambut dengan water cannon salute. Sebahagian daripada para tetamu dalam penerbangan sulung itu adalah Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia; Datuk Zainuddin Abd Wahab, Pengarah Kanan Tourism Malaysia dan juga media dari Malaysia yang akan mengikuti lawatan suai kenal dan menerokai keindahan Bhubaneswar.
Sempena penerbangan sulung ini, sidang media dan majlis sambutan telah berlangsung hari ini di Bhubaneswar dengan kehadiran Ashok Chandra Panda, Yang Berhormat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Odisha; Arti Ahuja, Jabatan Setiausaha Utama Pelancongan Odisha; Tuan Yang Terutama Dato’ Hidayat Abdul Hamid, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India; YBhg. Datuk Zainuddin Abd Wahab, Pengarah Kanan Tourism Malaysia dan juga Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia.

Aireen Omar, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia berkata, “Kami amat teruja berada di Bhubaneswar hari ini untuk meraikan penerbangan sulung kami ke bandar yang indah ini. Kami adalah syarikat penerbangan pertama yang menawarkan laluan antarabangsa ke Bhubaneswar dan kami berbesar hati dengan sambutan meriah yang diberikan kepada kami oleh kerajaan dan rakyat Odisha. India merupakan pasaran penting buat kami di AirAsia dan laluan unik baharu ini melambangkan komitmen kami dalam menawarkan lebih banyak sambungan laluan ke negara ini.
“Matlamat dan komitmen kami untuk berkembang di pasaran India selaras dengan pengumuman kerajaan baru-baru ini untuk menambah bilangan slot bagi syarikat-syarikat penerbangan Malaysia untuk beroperasi di antara kedua-dua negara. Dengan ini, kami berharap untuk membantu meningkatkan aktiviti pelancongan dan perdagangan di India dan Malaysia. Juga terus menyediakan sambungan yang lebih baik dan juga perkhidmatan terbaik kepada para tetamu kami yang terbang dari dan ke India,” tambah Aireen.