AirAsia gesa pemimpin ASEAN di zon hijau ambil langkah berani buka sempadan

KUALA LUMPUR, 27 OGOS – AirAsia Group Bhd menggesa pemimpin ASEAN di zon hijau untuk mengambil langkah berani dan menimbang membuka semula sempadan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tan Sri Tony Fernandes yang berharapkan inisiatif laluan hijau seperti yang diwujudkan oleh Malaysia dan Singapura berkata memandangkan bilangan kes COVID-19 telah berkurangan, ia merupakan satu peluang bagi negara-negara lain seperti Thailand, Vietnam, Kemboja dan Laos untuk menimbang dengan teliti membuka semula sempadan mereka tanpa terlalu banyak risiko.

“Jika anda lihat Thailand, yang mencatatkan kurang daripada 10 kes sehari, mengapa tidak Malaysia dan Thailand wujudkan laluan hijau?

“Saya berharap kelaknya kawasan berisiko tinggi dibuka kerana adanya rejim pengujian yang baik dilaksanakan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran AirAsia Shop, di sini, hari ini.

Fernandes menjangkakan tidak ada perjalanan antarabangsa sehingga akhir tahun ini tetapi AirAsia sentiasa bersiap sedia dengan sebarang keputusan yang diambil kerajaan termasuk pembukaan semula sempadan.

Beliau juga berharap AirAsia tidak lagi perlu melalui proses pengurangan tenaga kerja kerana permintaan perjalanan dijangka kembali normal menjelang Januari tahun depan. “Banyak faktor yang perlu difikirkan, kita perlu tunggu dan lihat.

“Hakikatnya sekarang adalah tidak ada orang yang bersedia untuk membuka sempadan, namun mari kita ambil langkah itu (buka semula sempadan). Kita mengambil masa yang lama untuk keluar daripada situasi sekatan pergerakan, jadi ia merupakan satu langkah beransur-ansur,” katanya. – Bernama

Tan Sri Tony Fernandes menunjukkan antara barangan yang dijual di AirAsia Shop selepas majlis pelancarannya di KL Sentral, kelmarin. – Bernama