Airasia lancar restoran makanan segera asean pertama

Oleh Ak Zaki Kasharan di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 2 DIS – AirAsia telah melancarkan restoran makanan segera ASEAN pertama di bawah jenama menu penerbangannya, Santan dan T&CO.

Restoran dan kafe tersebut telah dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes; Presiden Kumpulan AirAsia (RedBeat Ventures), Aireen Omar; dan Pengurus Besar Restoran Santan dan Kafe T&CO, Catherine Goh di Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, hari ini.

Catherine Goh pada majlis pelancaran berkenaan berkata, “Pembukaan restoran pertama ini merupakan permulaan bagi sesuatu yang hebat untuk jenama Santan dan T&CO. Kami telah melihat permintaan yang tinggi untuk menu dalam penerbangan kami di seluruh rantau ini dan ia adalah jawapan kami terhadap permintaan tersebut.

“Kami amat berbangga kerana dapat mengembangkan apa yang bermula sebagai menu dalam penerbangan untuk meneroka pasaran baharu dan terus  menyokong pengeluar dan pembekal tempatan dan ASEAN; selain mewujudkan peluang-peluang pekerjaan yang baharu dengan yuran francais yang berpatutan pada masa akan datang.

“Menjelang akhir 2020, kami berhasrat untuk membuka lima restoran milik Santan dan 100 restoran dan kafe yang dikendalikan oleh francais dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang dengan pengembangan di pasaran global,” jelas beliau lagi.

Sementara itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula mengulas kewujudan Santan and T&CO yang menurutnya lahir daripada idea dan inovasi kreatif pengembangan perniagaan dalam sektor penerbangan kepada sektor makanan dan minuman yang mana dengan kekuatan ini memberikan kelebihan kepada AirAsia untuk mengukuhkan kedudukan mereka seterusnya dapat menyumbang kepada kekuatan ekonomi domestik dalam negara.

Tan Sri Tony Fernandes pula menyatakan bahawa beliau memang hasrat dan impiannya untuk membuka cawangan di Brunei dan negara lainnya sekaligus mempromosikan makanan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau mengulas sedemikian ketika ditanya sama ada beliau berhasrat untuk melebarkan sayap cawangan restoran berkenaan di Negara Brunei Darussalam, semasa sidang media yang diadakan sejurus selepas majlis pelancaran berkenaan.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Datuk Kamarudin Meranun; Tan Sri Tony Fernandes; Aireen Omar dan Catherine Goh bergambar ramai selepas pelancaran restoran.
Catherine menunjukkan menu pintar yang terdapat di restoran berkenaan kepada Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.