AirAsia naik taraf perkhidmatan WiFi

SEPANG, 20 SEPT – AirAsia sedang menaik taraf perkhidmatan AirAsia WiFi yang dikuasakan oleh ROKKI untuk menawarkan penyambungan berkelajuan tinggi dalam penerbangan kepada para penumpangnya.

AirAsia dalam kenyataannya hari ini berkata, enam pesawat yang dikendalikan oleh AirAsia Malaysia dan dua pesawat kendalian AirAsia Thailand telah dilengkapi platform Ka-band berkelajuan tinggi Inmarsat, GX Aviation, yang juga akan diperluaskan kepada semua pesawat tahun depan.

Ka-band menawarkan pengalaman hiburan dan penyambungan (IFEC) yang dipertingkatkan melangkaui jalur lebar asas, menyokong video secara langsung, penstriman muzik dan banyak lagi.

Bagi meraikannya, menurut kenyataan itu lagi, AirAsia telah menawarkan penumpang dalam pesawat dilengkapi GX-Aviation dengan percubaan 10MB percuma perkhidmatan terbaharu itu sepanjang bulan ini.

“Sebagai perintis perkhidmatan wifi dalam penerbangan kos rendah di rantau ini, kami sentiasa mencari jalan untuk memberi definisi kepada pengalaman dalam penerbangan digital bagi penumpang kami,” menurut Presiden AirAsia Group (RedBeat Ventures), Aireen Omar.

“Memperkenalkan Ka-band yang dikuasakan oleh ROKKI adalah langkah logik seterusnya dalam proses yang membolehkan penumpang kami sentiasa kekal terhubung sepanjang perjalanan dan melakukan aktiviti penggunaan data termasuk penstriman langsung.

“Ini juga membolehkan analisis masa sebenar yang lebih baik dan membolehkan kami menawarkan lebih banyak perkhidmatan yang direka khusus buat 100 juta penumpang AirAsia setiap tahun,” jelas Aireen Omar lagi.

Dalam pada itu, Presiden Penerbangan Inmarsat, Philip Balaam berkata, perkhidmatan GX Aviation yang dilancarkan oleh AirAsia adalah pencapaian penting tatkala mereka membawa tawaran digital baharu kepada penumpang.

“Kami yakin proses naik taraf daripada sambungan asas kepada jalur lebar standard emas industri ini akan diterima dengan baik oleh para penumpang.

AirAsia WiFi adalah platform IFEC yang menawarkan sambungan secara percuma melalui peranti mudah alih peribadi anda untuk mengalami masa depan WiFi dalam penerbangan.