KUALA LUMPUR, 9 Ogos – AirAsia hari ini mengumumkan ia menjalin kerjasama dengan Palantir Technologies yang berpangkalan di California untuk melaksanakan projek di platform Palantir dalam pelbagai fungsi perniagaan syarikat penerbangan itu bagi tempoh lima tahun akan datang.
AirAsia dalam satu kenyataan hari ini berkata fungsi-fungsi ini termasuklah keselesaan pelanggan, jualan dalam penerbangan, perolehan laluan, kewangan, keselamatan, operasi penerbangan, perancangan rangkaian, kargo, pengurusan rantaian bekalan, komersial dan pembangunan pekerja.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata projek tersebut termasuklah membina model sokongan data ‘tumpuan pelanggan’, meningkatkan kecekapan dalam seluruh operasi, menambah baik kecekapan pemerolehan dan pengurusan inventori dan menyediakan latihan teknikal dan analisis bagi Allstars AirAsia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekitif Kumpulan Bersama AirAsia X, Tan Sri Tony Fernandes berkata kerjasama ini akan membolehkan syarikat penerbangan itu memacu pertumbuhan pesat apabila ia beralih ke tahap pewujudan nilai yang seterusnya.
“Kami akan menetapkan standard bagaimana syarikat penerbangan menggunakan data untuk meningkatkan pendapatan, mengurangkan kos, meningkatkan kecekapan dan menyediakan keselesaan peribadi kepada pelanggan.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Palantir dalam perkara ini,” katanya. – Bernama