AirAsia raih Anugerah Khas Datuk Bandar Miri

KUALA LUMPUR, 15 DIS – AirAsia Bhd meraih Anugerah Khas Datuk Bandar pada majlis Anugerah Datuk Bandar Miri 2019 atas sumbangan pentingnya kepada aspek ekonomi dan sosial Miri serta penduduknya.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia mendapat pengiktirafan terutamanya atas komitmennya meningkatkan hubungan penerbangan domestik dan antarabangsa bagi Miri serta menyediakan peluang kepada masyarakat setempat untuk menggunakan perkhidmatan penerbangan.

AirAsia menghubungkan Miri ke Kuala Lumpur, Kuching, Kota Kinabalu dan Johor Bahru serta Singapura dengan 101 penerbangan ke dan dari Miri setiap minggu, yang membawa kepada peningkatan tiga kali ganda trafik penumpang di Lapangan Terbang Miri dalam tempoh 20 tahun lepas daripada 790,000 pada 1998 kepada 2.35 juta pada 2018.

Pada 2018, lebih 61 peratus daripada trafik penumpang di Lapangan Terbang Miri menggunakan perkhidmatan penerbangan AirAsia. – Bernama