AirAsia sambut baik kebenaran pelancongan domestik

KUALA LUMPUR, 8 JUN – AirAsia Group Bhd menyambut baik pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) oleh kerajaan yang membenarkan sektor pelancongan domestik kembali beroperasi  bermula Rabu ini dalam usaha untuk memulihkan semula ekonomi Malaysia.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, dalam tempoh beberapa minggu ini, negara-negara di seluruh dunia telah menyambung semula perjalanan domestik dan membuka kembali secara berperingkat sempadan antarabangsa sebagai pengiktirafan bahawa pengangkutan udara menyediakan hubungan yang penting bagi meneruskan aktiviti ekonomi.

“Pembentukan dan perbincangan ‘gelembung perjalanan’ dan ‘laluan hijau’ dengan rakan-rakan ekonomi utama yang mempunyai kadar jangkitan rendah dan sistem pengekangan pandemik yang telah terbukti berjaya merupakan langkah ke arah hala tuju yang betul,” kata syarikat penerbangan itu.

AirAsia berkata perjalanan udara kekal sebagai satu daripada kaedah perjalanan paling selamat dengan memetik bukti Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang menyatakan bahawa risiko penularan jangkitan semasa penerbangan adalah sangat rendah.

“Di AirAsia, kesihatan dan kesejahteraaan penumpang kami kekal menjadi keutamaan dasar kami. – Bernama