AirAsia terima A300neo pertamanya

TOULOUSE, 11 OGOS – AirAsia telah menerima pesawat A300neo pertamanya, yang akan dioperasikan oleh syarikat penerbangan jarak jauh mereka iaitu AirAsia X Thailand.

Pesawat tersebut diserahkan melalui penyewa pesawat Avolon, dan ia merupakan pesawat A330neo yang pertama dari dua buah pesawat yang akan menyertai rangkaian pesawat AirAsia X menjelang penghujung tahun ini.

Dengan menampilkan tahap penjimatan yang lebih ekonomik, pesawat A330neo membawakan perubahan dalam tahap penjimatan bahan api bagi operasi penerbangan jauh AirAsia.

Generasi terbaru pesawat A330neo ini, yang berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang Bangkok, Thailand, akan menyokong usaha pertumbuhan dan perkembangan rangkaian syarikat penerbangan tersebut menjangkaui pasaran utama seperti Australia, Jepun dan Korea Selatan.

Pesawat A330-900 AirAsia X Thailand menampilkan 377 tempat duduk dalam konfigurasi dua kelas, merangkumi 12 Premium Flatbed dan 365 tempat duduk kelas ekonomi.

AirAsia X sudah mengendalikan sejumlah 36 buah pesawat A330-300 dan merupakan pembeli terbesar pesawat A330neo dengan sejumlah 66 buah tempahan muktamad setakat ini.

Pesawat A330neo merupakan pesawat generasi baharu, yang mengabungkan ciri-ciri kerangka pesawat badan lebar paling popular iaitu pesawat A330 dan memanfaatkan teknologi dari pesawat A350 XWB.

Kuasanya yang dijana menggunakan enjin Rolls-Royce Trent 7000, membolehkan pesawat A330neo menghamburkan tahap kecekapan yang tiada tandingan, dengan tahap pengunaan bahan bakar sebanyak 25 peratus lebih rendah bagi setiap tempat duduk berbanding pesaing generasi sebelumnya.

Dilengkapi dengan kabin Airbus Airspace, pesawat A330neo menawarkan pengalaman penerbangan unik melalui penawaran ruang peribadi yang lebih besar dan selesa serta sistem hiburan dan hubung rangkaian dalam pesawat generasi terkini.

Pesawat A300neo AirAsia yang pertama berlepas dari Toulouse, Perancis.