AirAsia terima pengiktirafan tujuh bintang teratas

KUALA LUMPUR, 22 NOV – AirAsia menerima pengiktirafan tujuh bintang teratas bagi setiap syarikat penerbangan dalam kumpulannya daripada pakar keselamatan industri penerbangan, Airlineratings.com, atas pelaksanaan pelbagai inovasi industri yang menjadikan pengalaman perjalanan lebih lancar dan selamat dengan ciri-ciri tanpa sentuhan.

Menurut kenyataan AirAsia hari ini, syarikat penerbangan dinilai berdasarkan tujuh kriteria seperti yang dinyatakan dalam laman web Airlineratings.com. Ia merangkumi maklumat menyeluruh mengenai prosedur COVID-19 di laman web, pemakaian penutup mulut dan hidung, pemakaian peralatan perlindungan diri oleh anak kapal, perkhidmatan hidangan dalam penerbangan yang diubah suai, pembersihan pesawat berkala, kit pensanitasi peribadi dan penjarakan fizikal dalam penerbangan.

Ketua Pengarang Airlineratings.com, Geoffrey Thomas berkata pihaknya bimbang apabila mendapat tahu terdapat syarikat penerbangan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard COVID-19 yang dipersetujui untuk melindungi para penumpang dan anak kapal.

“Kini keadaan telah berubah dan pasukan kami akan meninjau pematuhan operasi pada setiap minggu.

AirAsia adalah antara syarikat penerbangan pertama yang melaksanakan semua cadangan secara agresif,” katanya dalam kenyataan yang sama. – Bernama