Airbnb beli aplikasi HotelTonight

SAN FRANCISCO, 8 Mac – Airbnb berkata semalam ia sedang memperoleh aplikasi penginapan saat-saat terakhir HotelTonight, sekali gus memberikan syarikat perkongsian rumah itu tawaran produk yang lebih luas sebagai satu platform perjalanan.

Syarat-syarat perjanjian untuk Hotel Tonight, aplikasi yang menghubungkan pengguna dengan hotel untuk tempahan saat-saat terakhir, tidak didedahkan.

Perjanjian itu “mempercepatkan kerja-kerja kami untuk membina platform perjalanan yang memberikan perkhidmatan kepada semua orang,” kata satu kenyataan daripada Airbnb, salah satu firma baru “perkongsian ekonomi” terbesar dengan penilaian berjumlah kira-kira AS$30 bilion.

Tindakan itu diambil dengan Airbnb dijangka melancarkan satu penyenaraian saham pada tahun ini, dalam satu petanda tentang kematangan firma “perkongsian ekonomi” termasuk Uber dan Lyft.

Penilaian HotelTonight dianggarkan pada lebih AS$400 juta selepas beberapa pembiayaan.

Perniagaan utama Airbnb adalah berkongsi harta milik individu tetapi ia juga membenarkan tempahan dalam hotel, katil, sarapan baru-baru ini dan penginapan lain serta pemerolehan mempercepat trend berkenaan.

“Bersama dengan HotelTonight, kami boleh menawarkan tempat untuk tinggal untuk setiap jenis pelancong dan menjadikannya lebih senang untuk perniagaan kecil dan pemilik hotel yang berasa bangga dengan menawarkan pengalaman unik dengan menggunakan rangkaian hos dan tetamu global Airbnb,” kata Airbnb yang berpangkalan di San Francisco.

Airbnb telah berkembang sejak penubuhan pada 2008 untuk menjadi syarikat gergasi global dengan lima juta penyenaraian di 191 negara tetapi juga menghadapi kritikan kerana didakwa melaku persaingan tidak adil dan mengelak membayar cukai hospitaliti. – AFP