Airbus jual 60 pesawat baharu

NEW YORK, 11 Julai – Airbus semalam mengumumkan perjanjian untuk menjual 60 buah pesawat kepada syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), yang sebelum ini pernah menjadi sebahagian daripada pengeluar Kanada, Bombardier Siri C.

Ia merupakan kontrak pertama sejak pesawat itu dijenamakan semula oleh syarikat gergasi angkasa Eropah iaitu A220-330, yang boleh membawa antara 100 hingga 150 orang penumpang.

Airbus telah menandatangani perjanjian persefahaman bersama pesawat penumpang AS, JetBlue bagi kontrak bernilai kira-kira AS$5.4 bilion berdasarkan senarai harga, kata syarikat berkenaan.

Pesawat yang saiznya dua kali ganda besar berbanding pesawat siri C telah dikeluarkan oleh Bombardier yang terlebih dahulu membentuk usaha sama bersama Airbus, yang bermula 1 Julai lalu.

Gambar menunjukkan pesawat Airbus A220-300 yang diterbangkan buat pertama kali di pusat penghantaran Airbus di Colomiers, Perancis, kelmarin. Syarikat penerbangan JetBlue telah memeterai perjanjian bersama syarikat gergasi angkasa Eropah itu bagi pembelian sebanyak 60 buah pesawat yang baharu. – AFP

Airbus semalam telah mengadakan satu majlis di Toulouse, ibu pejabat Perancis dan menggelar penjenamaan semula pesawat itu sebagai ‘peristiwa bersejarah.’

Kedua-dua syarikat telah mengumumkan usaha sama mereka pada Oktober, satu langkah yang pada mulanya membawa syarikat Eropah itu mara setapak daripada pesaing Boeing dalam pasaran jet kecil.

Namun begitu, minggu lalu, Boeing berkata syarikatnya telah mencapai satu perjanjian sama bersama Embraer dari Brazil yang akan memberinya peluang untuk bersaing dalam segmen pesawat yang lebih kecil.

Airbus berkata ia juga mencapai satu perjanjian bersama JetBlue untuk menukar 25 pesanannya yang terkini bagi Airbus A320neo kepada A321neo yang bersaiz lebih besar. – AFP