Airbus: Periksa sayap pesawat A380

PARIS, 9 JULAI – Pengeluar pesawat, Airbus akan meminta syarikat penerbangan yang masih beroperasi menggunakan 25 jet super jumbo A380 keluarannya, supaya memeriksa bahagian sayap pesawat, selepas pihaknya menerima laporan wujudnya rekahan dalam beberapa model.

Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) berkata, arahan bertarikh 5 Julai itu, dikeluarkan bagi mengesan sekiranya terdapat rekahan pada beberapa bahagian sayap pesawat A380, yang masih beroperasi. “Jika masalah ini gagal dikesan dan diperbaiki, ia boleh menjejaskan integriti struktur sayap.

“Justeru, bagi menangani masalah yang boleh menimbulkan suasana tidak selamat ini, Airbus bercadang mengeluarkan satu buletin perkhidmatan, bagi menyediakan arahan pemeriksaan,” kata EASA.

Bagaimanapun, setakat ini, arahan itu tidak membabitkan sebarang penggantungan operasi mana-mana pesawat. – AFP