AirLab mampu jalankan ujian swab besar-besaran

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Sebuah makmal virologi tambahan yang dinamakan sebagai Brunei COVID-19 AirLab telah diperkenalkan oleh Kementerian Kesihatan, hasil kerjasama pihak kerajaan dengan Beijing Genomics Institute (BGI) bagi meningkatkan kapasiti ujian makmal SARS-CoV-2 di negara ini.

Perkara tersebut telah dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa makmal tersebut adalah sejenis makmal mudah alih yang mempunyai keselamatan bio peringkat 2.

“Ia pada masa ini ditempatkan di Bridex Jerudong dan Insya-Allah akan mula beroperasi pada hari Khamis, 19 Ogos 2021,” kongsi Yang Berhormat Dato.

Beliau juga mengongsikan bahawa makmal baharu itu akan dapat menampung sehingga 5,000 ujian dalam sehari.

Petugas makmal kelihatan di hadapan makmal AirLab bagi ujian swab COVID-19 yang dibina di BRIDEX, Jerudong. – Gambar serahan Sparks Co

Sementara itu, bagi meningkatkan kapasiti pemberian vaksin kepada orang ramai, Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga mengumumkan bahawa sebuah lagi pusat vaksinasi telah dibuka iaitu Pusat Vaksinasi Jubli Emas Bunut yang mula beroperasi kelmarin.

“Pusat ini dibukakan setiap Isnin hingga Khamis dan Sabtu pada pukul 8 pagi hingga 2 petang,” jelas beliau.

Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa perkhidmatan suntikan di pusat
vaksinasi tersebut hanya diberikan kepada mereka yang sudah mempunyai tempahan slot perjanjian sahaja.

“Dalam hal ini, sesiapa yang telah membuat tempahan slot perjanjian di Pusat Vaksinasi Jubli Emas Bunut diminta untuk memeriksa aplikasi BruHealth masing-masing bagi memastikan tarikh dan waktu tempahan,” jelasnya.

Menurut beliau, ada beberapa perjanjian yang telah diubah bagi mengambil kira kapasiti pusat vaksinasi tersebut.