Aishah bukan ‘kaki’ IG

Hampir 10 tahun menceburi dunia seni, nama pelakon cantik, Aishah Ilias bagai ‘tenggelam timbul’.

Pada suatu ketika, kelibatnya banyak dilihat dalam drama. Ada masanya pula, pelakon ini ‘hilang’ entah ke mana.

Tidak cukup itu, gadis tinggi lampai berdarah kacukan ini tidak aktif di laman sosial seperti di Facebook atau Instagram.

Mendekatinya, Aishah mengaku jarang berkongsi perkembangan terkini melalui media sosial.

“Saya tidak terlalu aktif dalam media sosial. Malah, saya tidak ada kelab peminat.

Aishah mengaku jarang berkongsi perkembangan terkini melalui media sosial. – Agensi

“Namun, selepas ini, saya akan aktif di Instagram (IG) kerana mahu mempromosikan drama lakonan,” katanya kepada BH Online.

Aishah menjelaskan dia masih lagi aktif di persada seni.

“Saya tak pergi ke mana-mana pun. Ada ketikanya, tawaran berlakon tidak menepati pilihan. Ada juga yang tidak kena dengan watak.

“Saya bukan memilih, cuma tidak mahu membuat keputusan yang tidak tepat dan terima apa sahaja watak.

“Kalau bercakap mengenai tawaran yang ada waktunya berkurangan, itu perkara biasa. Saya redha… Rezeki ada di mana-mana,” katanya.

Aishah mengaku pernah terfikir mahu menimbang tawaran menjadi pramugari sepanjang masa.

“Namun, saya tidak pergi ke sesi temu duga kerana sebab tertentu,” katanya.

Ketika ini, pelakon filem seram Paku kembali menyemarakkan pentas seni melalui drama Maryam Qistina sebanyak 26 episod. Drama arahan Saiful Zul Arief itu menyaksikan Eleena Sui dan Ikram Johari sebagai teraju utama.

Bercerita mengenai drama Maryam Qistina, Aishah berkata, dia teruja memegang watak wanita ‘psiko’.

“Saya mahu keluar daripada zon selesa dan mencabar diri dengan kemampuan yang ada. Penggambaran masih diteruskan hingga kini,” katanya. – Agensi