BEIJING, 7 JULAI – Satu jenama China yang pernah digelar ‘aiskrim Hermes’ telah dikritik selepas warga maya berkata beberapa produk aiskrimnya tidak cair apabila dibakar menggunakan penunu bagas.
Video tular menunjukkan aiskrim Chicecream yang kekal pejal apabila api membakarnya, mendedahkan ia tidak sepenuhnya cair apabila ditinggalkan pada suhu bilik 31 darjah Celsius selama satu jam atau di bawah kepanasan api.
Rakaman itu mencetuskan kebingungan dalam talian, membuatkan pengguna mempersoalkan harga mahal produk syarikat itu dan sama ada ia mengandungi banyak bahan tambahan.
Aiskrim Chicecream yang paling mahal ditawarkan – digelar Zhong Xue Gao dalam Bahasa Cina – berharga sekitar 66 yuan (AS$10).
Syarikat itu berkata kelmarin yang produknya itu mematuhi peraturan keselamatan makanan negara.
“Kami percaya ia bukanlah cara saintifik untuk menghakimi kualiti aiskrim dengan membakar, mengering atau memanaskan ais krim,” kata jenama itu dalam hantaran di laman Weibo yang menarik lebih 168,000 tanda suka.
AFP tidak dapat mengesahkan video tersebut, manakala penstabil makanan digunakan untuk mengekalkan strukturnya – biasa digunakan dalam penghasilan aiskrim secara besar-besaran dan diluluskan penggunaannya termasuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan AS.
Wang Silu, pemeriksa kanan makanan negara juga mengatakan produk yang digunakan untuk memekatkan aiskrim itu adalah selamat. – AFP