‘Aiskrim serai, telur masin’ di Ika Kulinari Olimpik 2020

ISKANDAR PUTERI – Aiskrim berperisa serai, telur masin, daun kari dan Siu Mai (dim sum) antara elemen cita rasa Malaysia yang akan ditonjolkan Pasukan Kulinari Senior Kebangsaan dalam Ika Kulinari Olimpik 2020 di Stuttgart, Jerman, 14 Februari ini.

Jurulatih pasukan, Zubir Md Zain berkata Malaysia yang akan diwakili 10 orang cef berpengalaman akan bertanding dalam dua kategori iaitu ‘Restaurant of Nation’ bagi hidangan 110 tetamu dan ‘Chef Table’ untuk 12 orang juri.

Katanya Malaysia merupakan antara 32 negara yang memburu pingat emas dalam kedua-dua kategori itu.

“Juri-juri ini ada dari negara Eropah, Amerika Syarikat serta Australia… jadi kita kena beri mereka cuba cita rasa Malaysia yang mana saya lihat ia agak mencabar.

“Tetapi itu bukanlah penghalang, malah sebenarnya memberikan lagi kami kekuatan dan semangat untuk buat yang terbaik untuk negara,” kata cef profesional yang juga juri Masterchef Malaysia itu, ketika ditemui Bernama di sini, baru-baru ini.

Pertandingan Ika Kulinari Olimpik yang disertai dari pelbagai pasukan tukang masak terhebat di seluruh dunia. – Agensi
Serai antara elemen cita rasa Malaysia yang akan ditonjolkan pasukan kulinari senior kebangsaan di Ika Kulinari Olimpik 2020. – Agensi

 Zubir berkata antara negara yang bakal memberi saingan sengit adalah Singapura, Korea Selatan, Norway serta Sweden.

Beliau berkata hidangan pembuka selera yang menggunakan adunan bahan seperti daun kari dan telur masin serta pencuci mulut antaranya menggunakan serai merupakan antara hidangan menarik yang akan dipersembahkan pada pertandingan itu.

“Malaysia ada kepelbagaian dari segi makanan, kita ada Melayu, Cina dan India, jadi itu yang beri kelebihan, tetapi rasa itu kita tidak boleh buat terlalu kuat dan terlalu berempah,” katanya.

Zubir yang pernah mewakili negara dalam Ika Kulinari Olimpik dan Master Kulinari Dunia sebelum ini berkata antara cabaran yang akan dihadapi pasukan adalah untuk menepati masa penyediaan.

“Kita diberi masa enam jam untuk buat penyediaan produk dan masa untuk menghidang. Oleh sebab itu, kita buat latihan untuk pastikan semua perancangan berjalan lancar dan ia dipraktikkan semasa di sana,” katanya.

Sementara itu, Presiden Professional Culinaire Association (PCA) Cef Mohd Kamaruddin Adnin yang merupakan penasihat pasukan berkata Pasukan Muda Kebangsaan yang diwakili oleh 10 orang cef juga akan mengambil bahagian dalam pertandingan yang sama bermula pada 14 sehingga 19 Februari itu.

Katanya kedua-dua pasukan telah membuat persediaan sejak tujuh bulan lepas bagi memastikan kesemua rancangan berjalan lancar.

“Setiap minggu kita berlatih, ambil pandangan daripada senior yang pernah memasuki pertandingan sebelum ini dan juga pandangan daripada cef-cef luar seperti Singapura… mereka beri komen dan kita perbaiki,” katanya.

Menurutnya, ini merupakan kali keempat Malaysia menyertai pertandingan berkenaan dengan pasukan senior kebangsaan pernah memenangi dua pingat perak pada 2012. – Bernama