AITI anjur kuiz sempena WTISD

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MEI – Negara Brunei Darussalam menyertai negara-negara sedunia meraikan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Bermaklumat Sedunia (WTISD) 2020 hari ini.

Semenjak tahun 1969, ia diraikan bagi memperingati ulang tahun pengasasan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dan penandatanganan Konvensyen Telegraf pertama di Paris dalam 1865.

Tahun ini, bagi memperingati WTISD 2020 di Brunei Darussalam, Pihak Berkuasa Info-Komunikasi dan Industri Teknologi Brunei Darussalam (AITI) menganjurkan pertandingan kuiz di Instagram AITI dan juga di radio.

Soalan kuiz adalah berdasarkan bagaimana ICT membawa impak ke atas tiga Matlamat Pembangunan Mapan (SDG) di Brunei Darussalam.

Tiga matlamat itu adalah tiada kemiskinan, bandar dan komuniti mapan, industri, inovasi dan infrastruktur.

Menurut kenyataan dikeluarkan AITI, pada pertandingan itu, peserta boleh berkongsi jawapan, buah fikiran dan idea mengenai bagaimana teknologi diintegrasikan dalam pembangunan ekonomi dan industri.

Ia juga dihasratkan dapat memupuk kesedaran mengenai kepentingan ICT dan mempromosikan integrasi teknologi dalam kehidupan harian masyarakat dalam usaha meraih manfaat dan menjadi lebih mapan khususnya dalam keadaan tidak menentu ini.